Isnin, 30 Julai 2012

Perompak pecah masuk gereja


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor Jaya, Tan Cher Puk
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor Jaya, Tan Cher Puk menunjukkan bagaimana perompak bertindak mengumpil dan memotong jeriji sebelum memecah masuk gereja, semalam.

SENAI - Niat tiga perompak hendak melarikan sebuah projektor dan wang tunai RM200 sewaktu memecah masuk sebuah gereja di Jalan Bunga Raya, Plentong dekat sini,  terkubur apabila perbuatan mereka disedari oleh seorang paderi.

Menurut kerani Gereja St Joseph, Vecintia Heo, dia menerima panggilan daripada paderi itu kira-kira jam 4 pagi semalam memaklumkan gereja berkenaan dipecah masuk perompak selepas terdengar bunyi bising di tingkat bawah.

Menurutnya, dia kemudian segera menghubungi seorang kenalan kerana khuatir terhadap keselamatan paderi berkenaan sebelum menghubungi pihak polis.

“Selepas menghubungi pihak polis, saya terus bergegas ke gereja berkenaan. Sewaktu saya sampai, pihak polis telah berjaya menahan dua perompak berkenaan namun seorang lagi meloloskan diri.

“Ini adalah tahun ketiga berturut-turut gereja kami dipecah masuk perompak. Bangunan berkenaan dilengkapi alat penggera namun perompak bertindak memotong wayar alatan berkenaan sehingga ia gagal berfungsi,” katanya.

Vecintia berkata, perompak turut memotong jeriji tingkap di bahagian pejabat di aras bawah, bagaimanapun tindakan pantas paderi berkenaan menyebabkan dua perompak itu berjaya ditahan polis.

Vecintia kemudian membuat laporan di Balai Polis Plentong semalam berhubung kejadian berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Roslan Zainuddin mengesahkan kejadian terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...