Isnin, 30 Julai 2012

Hasil jualan warga emas dikebas


KAMPUNG SENENG (BACHOK) – Seorang warga emas terpaksa berputih mata menghadapi Ramadan kali ini apabila semua hasil jualannya sepanjang minggu lesap dikebas pencuri ketika dia baru pulang dari berniaga.

Zainab Awang Noh,64, berkata, dalam kejadian Sabtu lalu, dia kehilangan RM1,200 yang disimpan dalam beg duit di bawah katil.

Menurutnya, dalam kejadian kira- kira jam 2 petang, beliau baru sahaja pulang dari berniaga di pasar Jelawat.

“Apabila tiba di rumah, makcik terus menyediakan makanan untuk suami, Tuan Muda Tuan Senik, 65, yang menghidap angin ahmar sejak beberapa tahun lalu. Sementara menunggu dia selesai makan, makcik masuk ke bilik untuk berehat seketika.

“Selepas itu, makcik keluar untuk mandi dan solat. Selesai solat makcik terus ke dapur untuk makan. Ketika itulah makcik terdengar bunyi seperti orang berjalan. Makcik fikirkan suami yang berjalan mahu ke bilik, dan makcik melarang beliau ke bilik kerana bimbang dia akan terjatuh,” katanya kepada Sinar Harian.

Zainab berkata, berkali-kali dia melarang suaminya agar tidak berjalan ke mana- mana tetapi bunyi tersebut tetap ada.

Dia kemudiannya menjenguk suaminya, tetapi mendapati beliau sedang tidur. Hairan dengan bunyi yang didengarinya, Zainab menuju ke pintu dapur mendapati sepasang selipar yang tidak dikenalinya berada di situ.

“Melihat selipar itu, saya tanya suami, siapa yang datang menziarahinya dan tertinggal selipar. Suami kata tiada siapa yang datang. Tidak puas hati dengan jawapan suami, makcik terus ke rumah jiran untuk bertanyakan siapa yang datang ke rumah ketika ketiadaan makcik tadi.

“Selepas dimaklumkan, jiran makcik datang melihat di pintu dapur, selipar itu sudah tiada di tempatnya. Makcik yang terkejut dengan kejadian itu segera masuk ke bilik dan melihat beg duit di bawah katil.

“Malangnya beg duit makcik tadi sudah kosong, hanya tinggal RM2 sahaja. Rupanya selipar tadi adalah selipar pencuri yang sudah masuk ke dalam rumah ketika makcik sedang makan. Dia mungkin keluar ketika makcik bergegas ke rumah jiran,” katanya yang telah membuat laporan polis sejurus selepas kejadian.

Beliau berkata, sebelum ini rumahnya tidak pernah dipecah masuk sejak berpuluh tahun tinggal di situ.

Menurutnya, dia hairan bagaimana pencuri tersebut boleh mengetahui lokasi dia menyimpan wang di bawah katil.

Dia percaya selepas pencuri itu memasuki rumahnya, suspek bersembunyi di dalam almari memandangkan almari pakaiannya berselerak selepas dia memeriksa keseluruhan kediamannya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...