Ahad, 29 Julai 2012

Mayat berulat dalam longkang dipercayai dibunuh


KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki dipercayai warga Indonesia dibunuh dengan kejam apabila mayatnya dicampak ke dalam parit sedalam 2.4 meter dengan dua jarinya dipotong selain cedera di kepala, dahi, paha dan patah tangan kiri di ladang kelapa sawit di Kampung Tapah Payung, Sungai Tong, Setiu, kelmarin.

Mayat mangsa dikenali sebagai Hary yang hanya berseluar panjang ditemui dalam keadaan berulat di dalam parit, 70 meter dari lokasi jari hantu dan telunjuknya ditemui rakannya yang juga pengadu iaitu orang lelaki tempatan berusia 32 tahun.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, mangsa dikatakan meminjam sebuah motosikal milik sepupu pengadu pada Rabu lalu.



Menurutnya, apabila mangsa tidak memulangkan motosikal, rakannya yang bekerja sendiri itu cuba mencari mangsa kelmarin sebelum mendapat maklumat daripada orang kampung bahawa motosikal milik sepupunya berada di kawasan ladang kelapa sawit.


“Sebaik tiba di lokasi kejadian jam 11 malam, rakannya yang menemui motosikal sepupunya terkejut melihat jari telunjuk dan jari hantu berhampiran motosikal selain ternampak kesan darah lalu segera menghubungi polis.



“Polis bergegas ke lokasi kejadian sebelum menemui satu mayat, dipercayai mayat mangsa, di dalam parit, 70 meter dari lokasi motosikal.



“Mayat berulat itu hanya dapat dikeluarkan jam 7.30 pagi tadi dengan bantuan pasukan bomba dan penyelamat, dan kemudian dibawa ke Hospital Setiu,” katanya di sini, semalam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...