Selasa, 31 Julai 2012

Polis dekati masyarakat di bazar Ramadan


PASIR GUDANG – Tindakan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam turun padang bertemu masyarakat di Bazar Ramadan Jalan Balau Taman Rinting, di sini disifatkan sebagai satu usaha yang murni.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permas, Datuk M Munusamy berkata, lokasi yang dipilih pihak polis bersesuaian kerana Bazar Ramadan berkenaan dibanjiri ramai pengunjung untuk membeli juadah berbuka puasa daripada lebih 200 gerai.

Menurutnya, usaha lebih 50 anggota polis dari IPD Seri Alam turun padang boleh mendekati masyarakat untuk menyampaikan info terkini terutama dalam mengedarkan risalah pencegahan jenayah.

“Ini satu usaha yang baik kerana selain dapat beramah-mesra dengan masyarakat, banyak maklumat-maklumat terkini yang boleh disampaikan kepada mereka.

“Saya difahamkan program ini akan berterusan ke lokasi Bazar Ramadan yang lain dalam kawasan IPD Seri Alam sepanjang bulan puasa ini,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, kelmarin.

Munusamy berkata, kerjasama pihak polis dengan masyarakat memang diperlukan dalam usaha mengurangkan kadar jenayah yang berlaku.

Menurutnya, masyarakat perlu diberi kesedaran bahawa usaha membanteras jenayah tidak harus diserahkan 100 peratus kepada pihak polis, sebaliknya perlu ada kerjasama daripada masyarakat.

“Inilah peluang pihak polis untuk memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa mereka juga perlu turut memainkan peranan dalam menyalurkan maklumat dan sebagainya.

“Kalau harapkan pihak polis bulat-bulat memang jenayah tidak boleh dibendung, sebaliknya kita harus bersama-sama dengan polis untuk memastikan kediaman dan diri kita selamat,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...