SHAH ALAM: Polis merampas dua pucuk pistol, 40
butir peluru dan 10 bilah parang panjang dalam serbuan berkaitan dadah di
sebuah rumah teres di Taman Bukit Pandan, Ampang, Jumaat lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah,
berkata dalam serbuan 4.30 petang itu polis turut menahan sepasang suami isteri
berusia 28 dan 27 tahun serta seorang remaja lelaki berumur 18 tahun.
"Turut dirampas satu peket plastik berisi
bahan dipercayai dadah jenis heroin dengan berat 143 gram bernilai kira-kira
RM8,000," katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Serbuan adalah berkaitan dadah kerana suspek
dipercayai aktif mengedar dadah jenis heroin di sekitar Ampang sejak enam bulan
lepas, katanya.
Tun Hisan berkata, suami wanita berkenaan
dipercayai bekerja sebagai buruh manakala isteri dan remaja terbabit tidak
bekerja.
Siasatan awal mendapati remaja berkenaan menyewa
bilik di rumah pasangan tersebut, katanya.
Ssemua suspek direman hingga 3 Ogos ini dan kes
disiasat mengikut 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 7(1) Akta Senjata
Api 1971. - BERNAMA