Ahad, 22 Julai 2012

BANDAR SEGAMAT MENYERUPAI SELATAN THAILAND ???



SEGAMAT 20 Julai - Dalam tempoh dua bulan, sudah tiga kes bunuh berlaku di daerah ini.

Bukan untuk menakut-nakutkan orang ramai namun, kes tembak yang berlaku di daerah ini perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa kerana ia berlaku di sebuah bandar kecil.

Pihak polis kini giat mengesan penjenayah yang terlibat dalam kejadian itu namun orang ramai tidak perlu khuatir kerana usaha memburu suspek sedang giat dilakukan.

Jika pada 12 Jun lalu, seorang ahli perniagaan mati ditembak di sebuah stesen minyak, disusuli seorang pemandu trak tunda ditembak di persimpangan lampu isyarat pada 23 Jun, satu lagi pembunuhan kejam berlaku di bandar ini awal pagi ini.

Kali ini, seorang jurujual produk jualan langsung maut akibat ditembak tiga das semasa menunggu isterinya selesai bekerja di sebuah pusat hiburan keluarga di Bandar Utama di sini.

Dalam kejadian pukul 2.50 pagi itu, mangsa, Asnan Yunus, 28, dari Felda Palong Timur mati di tempat kejadian setelah tembakan itu mengenai rusuk, tengkuk dan bawah telinga sebelah kiri.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Md. Anuar Ismail berkata, semasa kejadian mangsa sedang menunggu di dalam keretanya tidak jauh dari sebuah kedai serbaneka.

"Setakat ini polis sudah mengenal pasti beberapa individu untuk membantu siasatan yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada 12 Jun lalu, seorang ahli perniagaan ditembak enam das dari jarak dekat ketika mengisi petrol di sebuah stesen minyak di Jalan Genuang, manakala satu lagi kes berlaku pada 23 Jun apabila dua suspek melepaskan empat das tembakan terhadap seorang pemandu trak tunda di Bandar Baru Segamat.

Menceritakan lebih lanjut kejadian awal pagi ini, Md. Anuar berkata, sebuah kenderaan menghampiri kereta Asnan sebelum melepaskan tiga das tembakan dan mengenai mangsa.

Beliau berkata, polis masih menyiasat motif pembunuhan itu dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Difahamkan mangsa dan isterinya yang berusia 27 tahun tinggal di Kampung Jawa di sini dan mempunyai dua anak.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...