Ahad, 22 Julai 2012

Kedai motosikal rugi RM43,000


Gambar hiasan

SHAH ALAM: Tiada kesan pecah masuk, sebaliknya hanya ada kesan pecah keluar. Demikian situasi di sebuah kedai menjual motosikal di Seksyen 25, di sini, yang kerugian RM43,000 dalam kejadian rompakan, malam kelmarin.
Kejadian hanya disedari pengurus kedai ketika mula-mula membuka kedainya jam 9 pagi semalam, apabila melihat beberapa topi keledar dan baju hujan yang dijual di situ hilang.


Jurucakap polis ketika ditemui berkata, pengurus terbabit kemudian membuat pemeriksaan sebelum mendapati almari besi di dalam kedai dikopak dan wang tunai RM10,000 yang disimpan di dalamnya hilang, manakala wang tunai RM5,000 dalam mesin tunai turut hilang.


“Turut hilang ialah lima topi keledar berkualiti dan 30 pasang baju hujan,” katanya.


Hasil pemeriksaan kemudian mendapati keseluruhan kedai tidak mempunyai kesan pecah masuk dan pencuri terbabit dipercayai melarikan diri melalui pintu belakang dengan memotong mangga pintu yang dikunci dari dalam.



Sehubungan itu, polis tidak menolak kemungkinan pencuri bersembunyi di dalam kedai sejak kelmarin hingga ia ditutup pada jam 7.45 malam kelmarin.



“Pencuri turut melarikan kamera litar tertutup (CCTV) di kedai itu, termasuk alat perakam, dipercayai bagi menghapuskan bukti,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...