Khamis, 2 Januari 2014

Mayat lelaki Myanmar ditemui dalam semak

BUKIT MERTAJAM - Seorang lelaki Myanmar ditemui mati dengan kaki dan tangannya terikat ke leher dalam kawasan semak di kampung Masjid Timah, di sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, mayat lelaki yang dikenali sebagai Sadnoor Abdullah, 28, itu ditemui oleh seorang penduduk kampung yang melalui kawasan berkenaan pada pukul 12 tengah hari.
"Lelaki berkenaan yang melalui kawasan semak itu untuk ke kedai runcit berhampiran terbau benda busuk sebelum cuba mencari dari mana puncanya dan menemui mayat berkenaan,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan awal polis menemui kesan pukulan di bahagian kepala dan lelaki itu dipercayai mati kira-kira 10 jam lepas.
Mazlan berkata, polis percaya lelaki itu dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dicampak di kawasan semak berkenaan.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...