Rabu, 23 Julai 2014

Lelaki bergaduh bersenjata parang dihadapan pusat hiburan

Gambar hiasan
JOHOR BAHRU - Tindakan sekumpulan lelaki bergaduh menggunakan senjata parang di hadapan sebuah pusat hiburan di Taman Sri Tebrau,  pada 8 Julai lalu membawa padah apabila mereka ditahan polis.


Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, bertindak atas maklumat, polis mendapati sekumpulan lelaki bergaduh menggunakan parang di hadapan premis terbabit sekitar jam 3.00 pagi.

“Susulan daripada itu, polis menangkap 10 lelaki berusia 17 hingga 43 tahun dan merampas dua buah kereta Toyota Harrier, dua bilah parang panjang, sebilah pisau, dua rotan dan satu besi tajam,” katanya.

Mohd Mokhtar berkata, semakan rekod kesalahan lalu mendapati dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah dan dadah.

“Kesemua suspek sudah direman sehingga 17 Julai lalu. Sehingga hari ini (semalam), dua suspek masih direman manakala lapan yang lain telah diberikan jamin polis.

Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara yang boleh sampai 20 tahun, denda dan boleh juga dikenakan sebatan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Mokhtar berkata polis turut menahan seorang lelaki berusia 38 tahun yang bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan kerana cuba melarikan diri di kawasan parkir kenderaan perumahan Flat Desa, Taman Pelangi, di sini, 12 Julai lalu.

“Sewaktu melakukan rondaan, polis nampak lelaki ini keluar daripada  sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan dan sebaik sahaja dihampiri dan polis memperkenalkan diri, suspek cuba melarikan diri dan bertindak agresif, namun berjaya ditahan.

“Pemeriksaan lanjut ke atas suspek telah menemui sepucuk pistol semi auto bersama satu kelopak berisi tujuh butir peluru,” katanya.

Beliau berkata, suspek terbabit ditangkap dan sepucuk pistol bersama peluru itu dirampas.

Katanya, semakan rekod kesalahan lalu mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau dan kini ditahan reman sehingga 24 Julai ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senja Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara boleh sampai 14 tahun dan hukuman sebat yang boleh sampai enam kali sebatan.

“Kes ini juga disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun, denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-dua sekali,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...