Selasa, 30 April 2013

#PRU13#GE13: TIMBALAN KPN PUJI ANGGOTA PARTI DI T'GANU


Kuala Terengganu, 30 April - Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memuji anggota-anggota parti politik di Terengganu yang tidak menimbulkan kekecohan serius sepanjang kempen pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) setakat ini.

Beliau berkata anggota parti di negeri ini lebih matang kerana tidak mudah terpengaruh dengan anasir jahat yang boleh menimbulkan pergaduhan.

"Kita harap trend ini terus dipraktikkan pada hari menggundi nanti. Kalau kita semua mengikut undang-undang dan peraturan, sudah tentu kita menghadapi pilihan raya dengan aman damai," katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu hari ini.

Beliau berkata proses pengundian awal di Terengganu berjalan lancar tanpa sebarang gangguan di semua pusat pengundian.

"Sehingga pukul 1 petang tadi, 97 peratus pengundi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu selesai mengundi," katanya.

Khalid juga berkata persiapan polis Terengganu diatur dengan baik bagi menghadapi hari mengundi Ahad ini.

Beliau turut menerima sumbangan RM123,641 untuk Tabung Kebajikan Polis Diraja Malaysia dari Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...