Isnin, 23 Disember 2013

Dua lelaki samun kedai diburu

Dua lelaki samun kedai

KEMAMAN – Dua lelaki bersenjatakan sebilah parang yang menyamun sebuah kedai RM2 di Jalan Kuantan–Kuala Terengganu di Kerteh, dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam semalam, kini sedang diburu polis.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, wajah kedua-dua lelaki itu berjaya dirakam CCTV di dalam kedai terbabit.

Katanya, seorang daripada lelaki terbabit memakai topi keledar.

“Semasa kejadian, terdapat dua jurujual perempuan dalam kedai itu sebelum suspek masuk lalu mengugut mereka dan melarikan tunai kira-kira RM1,000.
“Kedua-dua suspek kemudiannya melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal," katanya.

Katanya, pihaknya kini giat mengesan dua lelaki terbabit dan orang awam yang mempunyai maklumat diharap  tampil untuk membantu siasatan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Che Suza berkata, suspek yang menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Jakar tiga hari lalu, berjaya dicekup kira-kira jam 1.30 pagi kelmarin.

“Suspek yang berusia 28 tahun berjaya ditangkap berhampiran kedai serbaneka 24 jam berkenaan. Polis juga berjaya merampas semula barang dilarikan dari kedai tersebut iaitu dua kotak rokok dan satu cerut.

“Turut dirampas, sebilah pisau jenama Berent dan Proton Wira Aeroback berwarna hijau kepunyaan suspek,” katanya.


Menurutnya, hasil saringan air kencing, suspek yang beralamat di Kampung Cina, Kuala Kemaman didapati positif dadah jenis Eramin 5.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...