Jumaat, 3 Mei 2013

LELAKI DIPERCAYAI PEMILIK BLOG 'MILO SUAM' DITAHAN


Kuala Lumpur, 2 Mei - Polis menahan seorang aktivis media sosial awal hari ini di perkarangan sebuah pasar raya di Meru, Klang berhubung dua laporan polis yang dikaitkan dengan sebuah blog yang dipercayai miliknya. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata hasil siasatan awal menunjukkan suspek berumur 29 tahun itu dipercayai pemilik blog 'Milo Suam'. 

Beliau berkata seorang pegawai polis membuat laporan berhubung blog itu yang memaparkan satu perutusan polis berhubung kes pencerobohan Lahad Datu, Sabah iaitu 'Ops Daulat' yang diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia bertarikh 6 Mac. 

"Seorang lagi pegawai polis membuat laporan berkenaan satu artikel di laman web tersebut yang mendakwa anggota polis mengundi awal, sedangkan apa yang berlaku adalah undi pos," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Perdana, Bukit Perdana di sini hari ini. 

Beliau berkata dokumen rahsia itu berkaitan maklumat yang diedarkan kepada ketua-ketua polis daerah di Sabah untuk mengambil tindakan berjaga-jaga mengenai kegiatan pengganas. 

Syed Ismail berkata suspek ditahan reman dua hari bermula hari ini dan antara barangan miliknya yang dirampas adalah sebuah komputer riba, jalur lebar tanpa wayar dan cakera keras luaran. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...