Gambar hiasan |
Kulim, 2 Mei - Seorang petugas pilihan raya sebuah parti politik cedera parah di muka setelah diserang empat lelaki bersenjatakan parang ketika bertugas menjaga sebuah khemah yang didirikan sempena pilihan raya umum ke-13 di Taman Halia, Lunas dekat sini awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Kulim Supt Ghuzlan Salleh berkata dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, empat lelaki bertopi keledar dikatakan menghampiri dua petugas yang sedang berada di sebuah khemah bersebelahan sebuah pentas pertunjukan yang akan diadakan malam ini.
"Empat lelaki berkenaan dikatakan tiba di lokasi dengan menunggang dua motosikal lalu serta-merta menyerang mangsa," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Ghuzlan berkata mangsa yang cedera parah di muka dikenali sebagai C. Padiapan, 50, seorang pekerja kilang, yang pada mula dibawa ke Hospital Kulim untuk rawatan tetapi kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk rawatan susulan.
Katanya seorang lagi petugas S. Selvam, 40, sempat menjerit meminta tolong menyebabkan keempat-empat suspek cabut lari meninggal mangsa yang cedera.
Polis sedang mengesan kempat-empat suspek untuk membantu siasatan kerana motif serangan itu dipercayai adalah peribadi. - BERNAMA