Gambar hiasan |
BATU PAHAT 4 Nov. - Usaha seorang warga emas untuk menambah pendapatan keluarganya dengan bekerja sebagai pengawal keselamatan sejak enam bulan lalu, berakhir dengan tragedi selepas dia mati dibunuh penyamun di Jalan Sulaiman, di sini semalam.
Mangsa, Ismail Mohd. Noor, 67, ditemui mati dalam keadaan duduk di atas kerusi oleh majikannya semasa membuka setor simpanan alat ganti motosikal pada pukul 8.25 pagi.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, mangsa merupakan pengawal keselamatan yang ditugaskan untuk menjaga setor tersebut bermula pukul 7 malam hingga 7 pagi.
Menurutnya, bagaimanapun mangsa ditemui dalam keadaan tidak bernyawa selain terdapat kesan darah pada hidung dan mulut.
"Sepasukan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah yang tiba dilokasi kejadian mendapati kematian mangsa mempunyai unsur jenayah berdasarkan kesan percikan darah pada kerusi tempat mangsa meninggal dunia.
"Hasil pemeriksaan lanjut, kami dapati dompet, telefon bimbit dan motosikal mangsa turut hilang. Oleh itu, polis setakat ini mengklasifikasikan kes sebagai samun dan bunuh dan siasatan lanjut sedang dilakukan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau berkata, hasil bedah siasat yang dilakukan hari ini mendapati mangsa yang berasal dari Rengit di sini, maut selepas dipukul oleh objek keras seperti kayu.
"Ini kerana kesan retakan pada dahi mangsa telah menyebabkan kematian selain kesan lebam di mata. Sehubungan itu, pemeriksaan menyeluruh bagi memburu suspek sedang dilakukan," katanya.
"Berikutan itu, polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat dan balai polis terdekat untuk membantu siasatan Seksyen 302 Kanun Keseksaan Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya