Isnin, 31 Mac 2014

Pemandu Bas Disamun, Hilang RM3,000


BESUT: Seorang pemandu bas kerugian RM3,000 setelah disamun dua lelaki selepas mengeluarkan wang itu di sebuah bank di bandar Jerteh di sini pada Khamis.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut DSP Noor Zainy Mohd Noor berkata kejadian berlaku kira-kira 8.15 malam semasa mangsa berumur 31 tahun itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Amer.
"Ketika menunggang motosikalnya, mangsa yang tidak menyedari telah diikut kemudiannya telah disekat oleh dua lelaki menaiki sebuah motosikal di Kampung Gong Mak Som, Alur Lintah.
"Suspek mengeluarkan parang dan meletaknya di leher mangsa sambil memaksanya memberikan wang yang diletakkan dalam beg sandangnya," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.
Dalam kejadian berasingan, Noor Zainy berkata seorang pemandu lori berumur 23 tahun dari Kampung Gong Kepas Dalam, cedera di bahu kiri selepas diserang seorang lelaki dengan pisau.
Kejadian berlaku ketika pemandu lori itu bertandang ke rumah rakan wanita yang merupakan bekas isteri penyerang itu di Kampung Pak Da Malik, Kampung Raja di sini pada Selasa, katanya.
Ekoran kejadian itu, mangsa dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Besut, katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...