Ahad, 30 Mac 2014

Dua ditangkap curi kabel TM


KEMAMAN – Dua lelaki yang sedang leka mencuri kabel Telekom Malaysia (TM) dikepung penduduk sebelum berjaya ditangkap dalam kejadian di Kampung Labohan, Kerteh, pagi semalam.

Kedua-dua suspek berjaya ditangkap penduduk kampung kira-kira jam 10.30 pagi ketika sedang asyik memotong salah satu kabel telefon tersebut.

Gara-gara cuba melarikan diri selepas menyedari perbuatan mereka dilihat penduduk, suspek turut bergelut dengan orang kampung menyebabkan mereka berdua cedera.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, perbuatan suspek mencuri kabel tersebut disedari penduduk.

“Pengadu yang berusia 34 tahun sambil dibantu abangnya dan beberapa orang kampung lain segera bertindak menangkap kedua-dua suspek setelah melihat perbuatan mereka yang cuba mencuri, sebelum menyerahkan mereka kepada polis.

“Barang kes yang dirampas bersama kedua-dua suspek adalah dua gulung kabel hitam milik TM yang panjangnya enam meter untuk setiap gulung dan sebilah parang berukuran 0.3 meter,” katanya.

Parang tersebut dipercayai digunakan untuk memotong kabel yang dicuri yang mana kabel yang telah siap dipotong kemudiannya akan digulungkan.

Beliau berkata, salah seorang suspek beralamat di Rumah Awam Kos Rendah Kemasik dan seorang lagi beralamat di Kampung Batu Putih, Kerteh.

Katanya, hasil siasatan mendapati suspek pertama tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala suspek yang beralamat di Kampung Batu Putih memiliki dua rekod di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...