Rabu, 26 Jun 2013

Polis buru dua lelaki terlibat samun empat buah kedai


Nibong Tebal, 25 Jun - Polis sedang mencari dua lelaki bagi membantu siasatan kes samun premis perniagaan yang semakin menjadi-jadi di sekitar Bukit Mertajam dan Nibong Tebal di sini sejak sebulan lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafien Mamat berkata dua lelaki terbabit ialah Ng Boon Teong, 32, beralamat terakhir di No 3, Taman Impian di Bukit Mertajam dan Chong Wooi Huat, 30, dari Taman Seri Impian, Batu Dua di Jalan Kuala Ketil, Kedah.

"Selasa lepas polis berjaya memberkas tiga orang dipercayai anggota kumpulan samun ini dan susulan itu polis berjaya mengenal pasti ketua kumpulan tersebut," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya susulan penahanan itu, polis berjaya merampas semula pelbagai jenis telefon bimbit, aksesori telefon bimbit dan wang tunai dengan nilai keseluruhan RM15,000.

Polis juga merampas sebuah kereta jenis Proton Waja yang dipercayai digunakan kumpulan berkenaan untuk kegiatan mereka, katanya.

Katanya selain menyamun kedai telefon bimbit, kumpulan itu turut menjadikan kedai buku, kedai serbaneka dan kafe siber sebagai sasaran.

"Mereka mencuri telefon bimbit dan menjualnya kepada orang ramai dengan harga yang lebih murah, manakala di kedai serbaneka kumpulan terbabit menyamun wang tunai," katanya.

Shafien berkata modus operandi kumpulan itu adalah menyamun menggunakan tukul besi dan parang dengan memakai topeng muka bagi mengelak dikesan. 

"Berdasarkan siasatan, mereka terlibat dalam empat kejadian samun di Nibong Tebal dan Bukit Mertajam termasuk sebuah kedai serbaneka di Sungai Bakap yang melibatkan kerugian RM17,000 wang tunai," katanya.

Katanya tiga lelaki berusia 21 hingga 23 tahun itu kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Beliau turut meminta orang ramai yang mengenali dua lelaki yang diburu atau ternampak kereta Perodua Myvi berwarna ungu dengan nombor pendaftaran PKH 9509 agar menghubungi balai polis berdekatan bagi menyalurkan maklumat. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...