Cagar bayi RM3,500 bayar 15 saman trafik
Ipoh: Sepasang suami isteri mendakwa terpaksa
mencagar bayi lelaki mereka berusia lapan bulan kepada seorang wanita untuk
mendapatkan pinjaman RM3,500 bagi membayar 15 saman trafik yang tertunggak
berjumlah RM2,800.
Bagaimanapun, pasangan terbabit
mendakwa gagal mendapatkan kembali cahaya mata mereka yang diserahkan kepada
ahli perniagaan itu, sedangkan bayi berkenaan perlu dibawa untuk pemeriksaan
kesihatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Berikutan itu,
pemandu bas, Nages Roa, 38, dan isteri, K Kanagavalli, 31, membuat aduan di
Balai Polis Malim Nawar pada 26 Jun lalu.
Ingin ambil semula bayi
Kanagavalli berkata, dua hari
selepas menyerahkan bayinya sebagai cagaran untuk pinjaman itu, dia ingin
mengambil semula bayi berkenaan untuk dibawa menjalani pemeriksaan perubatan
bagi mendapatkan vaksin seperti ditetapkan oleh pihak HRPB.
“Bagaimanapun, wanita itu
enggan menyerahkan bayi kami dan sehingga kini, kami gagal mengesannya,”
katanya pada sidang media, di sini, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis
Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon, ketika dihubungi mengesahkan polis
menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan sedang menyiasat dakwaan
terbabit termasuk punca kejadian.
“Kedua-dua pihak, iaitu pihak
yang mendakwa menyerahkan bayi mereka dan pihak yang didakwa menerima bayi
terbabit, masing-masing membuat laporan polis. Kami menerima empat laporan
polis, masing-masing dua dari kedua-dua pihak.
“Setakat ini, siasatan masih
dijalankan oleh polis termasuk memanggil beberapa saksi. Kami juga akan
mendapatkan kenyataan kedua-dua pihak dalam masa terdekat sebelum boleh
menyelesaikan kes ini,” katanya.