IPOH: Seorang
pekerja kelab malam di bandar raya ini cedera di dahi akibat ditetak dua lelaki
dalam pergaduhan di luar kawasan kelab malam itu awal pagi Khamis.
Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh Supt Ahmad Termizi Abdul Haq
berkata suspek berumur 22 dan 23 tahun berjaya ditahan polis di Greentown di
sini pada pukul 4.35 pagi sejurus selepas kejadian hasil maklumat orang awam.
"Berlaku
pergaduhan di antara suspek dan mangsa yang berumur 29 tahun di luar kelab
malam. Dua lelaki yang membawa pedang samurai serta sebilah parang itu
bertindak agresif terhadap mangsa dengan menetak mangsa di bahagian dahi,"
katanya kepada pemberita.
Katanya kedua-dua suspek ditahan reman selama enam hari
bermula hari ini untuk siasatan.
Mangsa yang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB)
di sini menerima lapan jahitan di dahi, katanya.