Jumaat, 11 Julai 2014

JENAYAH DI BESUT MEMBIMBANGKAN ???

Rumah dirompak ketika solat Subuh


BESUT - Sepasang suami isteri warga emas kerugian kira-kira RM16,000 selepas barang kemas milik mereka dicuri dalam kejadian pecah rumah di Kampung Seberang Limbongan dekat Kampung Raja, pagi semalam.

Kejadian dipercayai berlaku antara jam 5 hingga 6.15 pagi ketika mangsa, Zakaria Samad, 74, dan isteri, Rokiah Said, 69, pergi menunaikan solat Subuh di Masjid Kampung Pengkalan Nyireh, kira-kira 500 meter dari rumah mereka.

Rokiah berkata, dia dan suami menyedari rumah mereka dimasuki pencuri selepas pulang dari masjid apabila mendapati pintu rumah tidak berkunci selain terdapat kesan diumpil.

“Waktu keluar rumah, semua pintu sudah berkunci, tapi bila kami pulang ketika hendak buka pintu, pintu dah tak berkunci, malah ada kesan orang pecahkan bahagian kunci pintu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Rokiah berkata, sebaik masuk ke dalam rumah, dia mendapati empat bilik tidur berselerak dipercayai digeledah pencuri yang mencari barang berharga.

Katanya, setelah diperiksa, kesemua barang kemas miliknya iaitu seutas gelang dan rantai emas serta tiga bentuk cincin yang disembunyikan di dalam bilik tidur hilang.

“Pencuri pecahkan pintu bilik tidur makcik dan selongkar semua pakaian dalam almari.

"Habis semua barang kemas makcik dan sejumlah wang syiling mereka ambil, adalah dalam kira-kira RM16,000 semuanya," katanya.

Biarpun sedih, Rokiah tetap reda dengan kejadian menimpanya walaupun dia terpaksa mengumpul wang untuk tempoh lama bagi membeli setiap barangan kemas tersebut memandangkan suaminya hanya bekerja kampung.

"Makcik percaya pencuri masuk melalui pintu depan rumah ketika kami ke masjid untuk solat Subuh.

"Ini kali pertama rumah kami dimasuki pencuri, tahun lepas sebuah motosikal Honda EX5 yang diletakkan di depan rumah dicuri pada waktu malam,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Raja.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan menurutnya siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan suspek terlibat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...