Sabtu, 21 Jun 2014

Polis Tahan Dua Lelaki Berhubung Tragedi Bot Karam


SHAH ALAM, 20 Jun (Bernama) -- Polis Selangor Jumaat menahan dua lelaki dipercayai ejen dan tekong darat berhubung kejadian bot karam di perairan Kuala Sungai Air Hitam, Pulau Carey Selasa lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata kedua-dua suspek diberkas di sebuah premis di Jalan Tengku Badar, Pelabuhan Klang dekat sini, kira-kira pukul 3 pagi tadi.

Beliau berkata suspek berumur 44 dan 54 tahun itu adalah warga Indonesia dan disyaki menguruskan perjalanan 97 penumpang warga republik berkenaan yang mahu pulang ke negara asal dengan menaiki bot ke Tanjung Balai.

"Telefon bimbit milik kedua-dua suspek dirampas kerana disyaki digunakan bagi kegiatan menguruskan penumpang tersebut namun tiada wang tunai dijumpai semasa serbuan dan polis percaya mereka mungkin telah menyorokkan wang tersebut.

Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek memiliki pasport yang sah dan pertama kali ditahan di negara ini. Polis sedang menyiasat sejauh mana mereka terlibat sebagai ejen dan tekong tersebut," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Dalam tragedi itu, sebuah bot yang membawa 97 penumpang itu dipercayai berlepas dari Jeti Sungai Judah, Pulau Carey kira-kira pukul 11 malam Selasa lepas namun karam sejam kemudian dan sehingga pukul 7 pagi tadi, 14 mayat mangsa bot karam itu ditemui manakala 20 lagi masih hilang dan 63 berjaya diselamatkan.

Dalam perkembangan lain, Mohd Adnan berkata polis menahan 20 individu terdiri 18 warga tempatan, seorang warga China dan seorang warga Indonesia menerusi Ops Soga setelah menyerbu 11 premis disyaki beroperasi sebagai pusat perjudian bola sepak sempena Piala Dunia FIFA 2014.

Katanya, serbuan yang dijalankan sejak 13 Jun lepas itu dibuat di sekitar kawasan Klang Selatan, Ampang, Petaling Jaya, Kajang, Gombak dan Kuala Selangor.

Mohd Adnan berkata turut dirampas ialah dua unit komputer riba, 15 buah telefon bimbit, wang pertaruhan sebanyak RM7,948, sebuah telefon tablet, dan tiga helai kertas pertaruhan dengan nilai pertaruhan RM900,000.

Katanya, kesemua suspek tersebut berumur lingkungan 30 hingga 60 tahun dan ditahan dibawah Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...