Jumaat, 22 Mac 2013

PGM LIGAT RONDA KAMPUNG PESISIR PANTAI


Lahad Datu, 21 Mac - Usaha memastikan perkampungan yang menjadi sasaran penceroboh militan kekal selamat tidak hanya terbatas kepada operasi membersih dan menggeledah di daratan. 

Sejak insiden pencerobohan oleh kira-kira 200 militan bersenjata dari selatan Filipina pada 12 Feb lepas yang menggemparkan seluruh negara, Kampung Tanduo yang menjadi lokasi pendaratan pengganas mula menyaksikan kehadiran ribuan anggota keselamatan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). 

Di sebalik tugas hakiki menggempur, menggeledah dan membersihkan kampung-kampung yang 'disinggahi' kumpulan militan oleh PDRM dan ATM, Unit Tempur Marin juga tidak ketinggalan melaksanakan operasi serupa, dengan menjadikan lokasi di lautan sebagai tumpuan. 

Sejak semboyan perang ditiup dan Operasi Daulat dilancar pada 5 Mac lepas, Unit dari Pasukan Gerakan Marin (PGM) itu secara tersusun menjalankan operasi mengawal pesisir pantai sejauh 20 kilometer meliputi Kampung Tanduo hingga Kampung Tanjung Batu bagi memastikan kawasan perkampungan itu bebas daripada ancaman pengganas. 

Ketua Operasi Unit Tempur Marin ASP Mohammad Aris Jambul berkata operasi tinjauan yang dilakukan setiap hari secara bergilir-gilir bersama Tentera Laut Diraja Malaysia itu mendapati kawasan yang turut meliputi Kampung Labian, Kampung Sungai Bilis dan Kampung Sungai Nyamuk itu kini tidak berpenghuni.

"Tinjauan yang kami lakukan beberapa hari kebelakangan ini mendapati kawasan kampung itu tidak lagi berpenghuni dan ditinggalkan dalam tempoh yang lama. 

"Setelah beberapa pertempuran berlaku di kampung terbabit, perkampungan pesisir pantai itu kini dikuasai sepenuhnya oleh pasukan keselamatan," katanya kepada Bernama di sini hari ini. 

Malah beberapa wakil media yang diberi kesempatan menyertai operasi meninjau oleh unit itu hari ini menyimpulkan perkampungan berkenaan sebagai 'mati'. 

Elemen pertempuran juga jelas kelihatan apabila terdapat kesan kebakaran dan letupan di sekitar kampung itu. 

Sejak tragedi pencerobohan, seramai 63 militan terbunuh termasuk seorang yang ditembak mati pagi semalam manakala di pihak Malaysia 10 anggota keselamatan gugur. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...