Jumaat, 22 Mac 2013

ORANG RAMAI DIANGGAP 'PERISIK' TERBAIK


Kuala Lumpur, 21 Mac - Orang ramai dianggap sebagai 'perisik' terbaik kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam menyalurkan maklumat bagi menyelesaikan kes membakar kenderaan yang tertakluk di bawah kesalahan melakukan khianat menggunakan api. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata walaupun PDRM mempunyai pasukan khasnya sendiri untuk menyiasat kes itu, namun laporan orang ramai yang tampil secara sukarela memberi maklumat menjadi kunci utama kejayaan polis. 

"Kita memang ada pasukan sendiri yang menjalankan siasatan, kaji modus operandi dan perilaku mereka yang terlibat dalam kejadian ini. 

"Tapi ia lebih berkesan sekiranya orang ramai, terutama jiran yang terlihat kejadian itu di kediaman mereka, tampil menghulurkan maklumat," katanya kepada Bernama. 

Beliau berkata sumber maklumat daripada orang ramai atau jiran lebih membantu polis menyelesaikan kes itu kerana mereka lebih tahu atau biasa dengan suasana sekeliling, peka dengan apa yang berlaku dan saling mengenali antara penghuni lain di kawasan perumahan mereka. 

MAKLUMAT PENTING ORANG RAMAI PERCEPAT SIASATAN 

"Berbanding dengan tugas polis yang perlu merungkai satu persatu kejadian antaranya mencari saksi, motif, kaitan dan sebagainya yang sekaligus akan mengambil masa yang panjang untuk diselesaikan. 

"Sekiranya mereka salurkan maklumat penting dan berguna kepada kita, tidak mustahil kita boleh percepatkan siasatan dengan membawa mereka ke muka pengadilan sekaligus membendung kejadian ini daripada berulang," katanya. 

Mohd Bakri berkata orang ramai, dalam sesuatu perkara, perlu menjadi 'busy body' sebagai 'mata dan telinga' PDRM yang kesannya nanti akan dirasai mereka sendiri. 

"Kalau mereka bagi maklumat, dan kita dapat tangkap individu berkenaan, yang untung mereka sendiri juga. 

Si pemberi maklumat juga boleh berbangga dengan 'sumbangan' yang diberikan demi mengekalkan kesejahteraan dan keselamatan di kawasan perumahan mereka," katanya. 

TAK PERLU TAKUT DEDAH MAKLUMAT 

Mohd Bakri berkata orang ramai tidak perlu berasa takut atau terancam dengan pendedahan maklumat yang diberikan kerana PDRM sentiasa melindungi identiti si pemberi maklumat. 

"Malahan kita mempunyai satu akta iaitu Akta Perlindungan Saksi. Kita akan merahsiakan identiti pemberi maklumat. Percayalah kepada polis bahawa setiap maklumat yang kita terima, kita akan analisis. 

"Banyak kejayaan yang kita capai hasil maklumat daripada orang ramai. 

Tanpa orang awam, polis tak akan berjaya menyelesaikan sesuatu kes," katanya. 

DENDAM, DENGKI, TEKANAN ANTARA PENYEBAB 

Mengenai punca kegiatan ini dilakukan, Mohd Bakri berkata selain pertelingkahan dua kumpulan merebut kawasan, dendam, rasa tidak puas hati dengan teguran daripada penghuni flat lain, sakit hati dengan tindakan penghuni yang meletakkan kenderaan sesuka hati, dengki dan tekanan perasaan juga menjadi faktor utama. 

"Ketidakpuasan hati itu seterusnya 'diterjemahkan' melalui tindakan membakar kenderaan secara rawak dan bukan kepunyaan sasaran utama bagi mengelak dikesan pihak berkuasa", katanya. 

"Ini adalah cabaran kepada polis untuk menjejaki identiti sebenar suspek kerana mereka tidak menyasarkan secara terus (membakar) kepada kenderaan milik mangsa. 

"Kalau mereka bakar kenderaan milik sasaran utama, dah tentulah kita (polis) boleh kesan mereka berdasarkan bukti yang ada seperti kaitan mereka dengan insiden yang terjadi sebelum itu. 

:Contohnya, penghuni flat yang menegur sekumpulan remaja membuat bising. Yang tidak puas hati ini tidak akan membakar kenderaan yang menegur kerana jika mereka berbuat demikian, ini secara tidak langsung membuka peluang untuk polis menangkap mereka," katanya. 

Mohd Bakri berkata polis sudah mengenalpasti taktik suspek ini bagi mengaburi siasatan pihak polis ketika menjejaki si perilaku kes itu. 

"Mereka merasakan objektif mereka tercapai dengan menaikkan kemarahan orang lain, walaupun tidak dapat merosakkan harta benda milik sasaran utama. 

Dari sudut siasatan kita pula, terdapat kesulitan untuk mengaitkan mereka dengan kejadian berkenaan," katanya. 

GALAKKAN UNIT RONDAAN, KAWALAN CEGAH KEJADIAN 

Selain itu, Mohd Bakri berkata antara langkah pencegahan yang boleh dilakukan bagi membanteras kegiatan angkara khianat ini adalah dengan menggalakkan unit kawalan atau rondaan rukun tetangga bagi menjaga tahap keselamatan penghuni lain dan harta benda awam. 

"Mohonlah kepada pihak berkenaan supaya mengupah pengawal keselamatan di kawasan perumahan, terutama di flat-flat di mana seringkali berlaku kejadian bakar kenderaan. 

"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga penting dipasang di kawasan sebegini bagi membantu polis mengesan si pelaku. 

Malangnya tidak semua kawasan diletakkan CCTV terutama di flat-flat, di mana kejadian ini banyak berlaku," katanya.

Mohd Bakri berkata seiring dengan tujuan untuk membanteras jenayah, PDRM telah menubuhkan pasukan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) baru-baru ini yang ditugaskan membuat rondaan di kawasan perumahan dan 'hotspot'. 

Pada April 2010, enam buah kereta musnah dalam kebakaran di sebuah pusat menjual kereta terpakai di Taman Saujana Megah, Batu Gajah, dipercayai akibat perbuatan khianat. 

Polis percaya perbuatan itu dilakukan oleh dua lelaki yang hampir diberkas oleh pengawal keselamatan premis berkenaan ketika cuba mencuri besi sehari sebelum kejadian. 

Di Petaling Jaya, pada awal tahun lepas, sebanyak 26 motosikal dan sebuah teksi terbakar di tempat letak kereta pangsapuri Desa Mentari Sunway, dipercayai mempunyai kaitan dengan kes pergaduhan antara dua kumpulan. 

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata kes itu lebih menjurus kepada masalah peribadi apabila kedua-dua kumpulan tersebut dipercayai tidak berpuas hati sesama sendiri sebelum bertindak membakar kenderaan di kawasan itu menggunakan petrol atau minyak tanah. 

Sebanyak 23 kes membakar kereta mewah berlaku di sekitar ibu negara pada Mac tahun lepas dan perbuatan khianat itu menyasarkan motosikal dengan 32 kenderaan itu dibakar di kawasan kediaman dalam tempoh 24 jam. 

Terbaru pada awal 2013, tujuh kereta, yang diletakkan di tingkat tiga parkir Flat Taman Jade, Bukit Gambir, di Georgetown, hangus dalam kebakaran dipercayai perbuatan khianat. 

Perbuatan seumpama jika sabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun dan denda. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...