BESUT – Seorang buruh binaan warga Myanmar dikatakan masih mampu
berjalan meminta pertolongan selepas lehernya dikelar dan ditikam di bahagian
belakang badan di Jalan Tembila, Kampung Pangkalan Kubur dekat Kampung Raja,
malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 malam itu, mangsa, Usal Hamod, 31,
ditemui orang awam terbaring di hadapan sebuah sekolah menengah berhampiran
rumah sewanya sebelum bertindak menghubungi polis.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata,
pihak polis yang bergegas ke tempat kejadian menemui mangsa yang masih sedarkan
diri, tetapi tidak bermaya di hadapan sebuah rumah tidak bernombor bersebelahan
rumah sewa mangsa.
Menurutnya, mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan
kecederaan di bahagian kiri leher dipercayai akibat dikelar, selain bahagian
belakang badan disyaki ditikam dengan senjata tajam.
“Bagaimanapun, mangsa yang bekerja sebagai buruh tapak pembinaan di kawasan berdekatan berada dalam keadaan stabil, namun tidak bermaya akibat kecederaan dialaminya itu,” katanya.
“Bagaimanapun, mangsa yang bekerja sebagai buruh tapak pembinaan di kawasan berdekatan berada dalam keadaan stabil, namun tidak bermaya akibat kecederaan dialaminya itu,” katanya.
Kamaruddin berkata lagi, mangsa dihantar ke Hospital Besut untuk
mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia
(HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati tidak ada jiran yang menyedari
kejadian berlaku dan polis tidak menemui sebarang senjata di kawasan kejadian.
Kata beliau lagi, pemeriksaan di rumah mangsa sejurus selepas kejadian
itu mendapati tidak ada sesiapa di dalam rumah tersebut dan suspek dipercayai
melarikan diri.
“Polis sedang menyiasat suspek dan motif kejadian, namun keterangan
daripada mangsa masih belum diperoleh kerana keadaan mangsa tidak bermaya,”
katanya.