Anggota UPB melakukan pemeriksaan di lokasi penemuan bom buatan sendiri di Jalan SK7/12, semalam. |
SERI KEMBANGAN – Penduduk dan pengguna jalan raya di Seri Kembangan semalam gempar dengan penemuan bungkusan tertulis ‘Awas Bom’ di sebuah kedai makan di Jalan SK7/12, pagi semalam.
Difahamkan, bungkusan berkenaan ditemui pekerja kedai itu sebelum perkara terbabit dimaklumkan kepada majikannya.
Pekerja berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Meksu, 23, berkata, dia menemui bungkusan itu di atas gerai yang terletak di luar kedai ketika hendak memulakan operasi perniagaan kira-kira jam 11 pagi.
Katanya, dia kemudian memaklumkan penemuan itu kepada majikannya sebelum pemilik kedai itu mengalihkan bungkusan dan meletakkannya di luar premis kedai.
“Saya tidak buka bungkusan itu, hanya nampak di atasnya tertulis ‘Awas Bom’, kerana bimbang saya beritahu majikan,” katanya.
Anggota UPB menjalankan pemeriksaan ke atas kotak tertulis 'Awas Bom' yang ditemui seorang pekerja kedai makan di Jalan SK7/12 . |
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, polis menerima laporan jam 11.45 pagi sebelum sepasukan anggota Unit Pemusnah Bom (UPB) daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dikejarkan ke tempat kejadian.
Beliau berkata, bungkusan dipercayai terdapat bom buatan itu diletupkan jam 1.15 tengah hari.
Kotak tertulis ‘Awas Bom’ ini ditemui di tepi tangga tingkat 2, Pejabat DAP Kinrara. |
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat satu botol kaca dipenuhi paku, dua bateri, baja dan kertas surat khabar diisi dalam sebuah kotak tin biskut.
Katanya, pihaknya percaya ia adalah bom buatan sendiri yang boleh meletup sekiranya cuaca panas ditambah keadaan tekanan dalam tin terbabit.
Abd Razak berkata, beliau percaya kejadian tiada kaitan politik namun siasatan diteruskan untuk menentukan tahap keselamatan orang awam.
Pemeriksaan menemui tin yang berisi wayar dan objek hitam di dalam kotak bertulis perkataan 'bom' di temui di luar bilik gerakan DAP di Jinjang Utara. |
Beliau dalam pada itu meminta penduduk supaya tidak gusar dan memberi jaminan keselamatan di kawasan itu.
“Polis percaya ia tiada kaitan politik tetapi lebih kepada menimbulkan kegusaran kepada masyarakat menjelang hari pembuangan undi esok.
“Saya beri amaran supaya mana-mana pihak tidak menjadikan perkara ini sebagai satu permainan dan polis akan mengenal pasti mereka yang terbabit,” katanya mengucapkan terima kasih kepada masyarakat prihatin yang segera melaporkan kejadian kepada pihak polis.
Beliau dalam pada itu juga mengingatkan orang awam supaya segera menghubungi polis sekiranya menemui sesuatu yang mencurigakan dan tidak mengalihkannya atas faktor keselamatan.
Ketika operasi semalam, katanya pihak polis terpaksa menutup jalan sepanjang satu kilometer selama 30 minit daripada dilalui orang awam atas faktor keselamatan ketika kerja meletupkan bom buatan dilaksanakan.
Di Kepong, polis mengesahkan menemui satu kotak yang bertulis perkataan bom di luar bilik gerakan DAP di Jinjang Utara, semalam.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis mendapat maklumat berhubung penemuan itu, kira-kira jam 8 pagi.
Beliau berkata, siasatan polis mendapati di dalam kotak tersebut mengandungi tin yang berisi wayar dan objek hitam.
“Kita tidak dapat pastikan lagi adakah itu bom. Cuma hanya ada tulisan bom di luar kotak. Siasatan masih lagi dijalankan,” katanya ketika ditemui di Bukit Aman, semalam.
Beliau berkata, siasatan mendapati individu yang meletakkan objek tersebut cuba mengganggu gugat ketenteraman awam.
“Jangan main-main dengan keselamatan negara. Kami akan pastikan individu bertanggungjawab itu dapat diberkas,” katanya.