EMPAT penjenayah mengambil masa hanya tiga minit untuk merompak sebuah kedai emas dan melarikan pelbagai barang kemas bernilai lebih RM100,000 di Petaling Jaya semalam. |
PETALING JAYA - Empat perompak bersenjatakan tukul, kapak dan pistol berjoli sakan selepas melarikan sejumlah barangan kemas bernilai lebih RM100,000 dalam tempoh tiga minit dari sebuah kedai emas di Jalan Othman di sini semalam.
Kejadian pada pukul 10 pagi itu berlaku apabila perompak melepaskan tembakan amaran di dalam premis yang ketika itu mempunyai seorang pelanggan dan enam pekerja sebelum memecahkan cermin pameran menggunakan tukul dan kapak.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamad berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati empat lelaki memakai topi keledar berpenutup penuh tersebut menaiki dua buah motosikal.
"Polis akan meneliti rakaman televisyen litar tertutup. Nilai sebenar kerugian masih dalam siasatan," katanya yang memberitahu penjenayah mengambil masa selama tiga minit untuk melakukan rompakan.