KUALA TERENGGANU - Rakyat di negeri ini yang berasakan dirinya diancam untuk keluar mengundi esok diminta menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan.
Jurucakap media Pilihan Raya Umum ke-13 kontinjen polis Terengganu Superitendan Koh Ah Tiam juga berkata, polis telah memperhebatkan kawalan di kawasan yang dianggap panas bagi mengekang insiden tidak diingini.
Orang ramai tidak perlu berasa bimbang untuk menunaikan tanggungjawab mereka esok kerana polis sentiasa memantau, katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, polis Terengganu juga mengingatkan pihak berkenaan agar tidak melakukan kekecohan jika tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang.
Sebanyak 4,000 pegawai dan anggota polis kontinjen Terengganu akan bertugas mengawal keselamatan sepanjang hari esok, katanya. - Bernama