Kota Kinabalu, 3 Mei - Pasukan keselamatan menemui tiga rangka mayat pengganas dari selatan Filipina dalam kawasan semak di Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu dekat sini.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata rangka mayat itu ditemui pada pukul 2.05 petang Khamis semasa pasukan keselamatan membuat rondaan yang turut menyaksikan penemuan selaras senjata, beberapa butir peluru dan dokumen yang menunjukkan mereka adalah pengganas Sulu.
"Kami percaya mayat-mayat ini sama ada ditembak mati pada 6 Mac lepas atau semasa anggota keselamatan mengadakan operasi pembersihan di Kampung Tanjung Batu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini, hari ini.
Beliau berkata kesemua rangka mayat itu dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat.
Dengan penemuan terbaharu itu menjadikan jumlah mayat yang dikeluarkan oleh pasukan keselamatan sehingga kini ialah 59 mayat manakala jumlah musuh yang ditembak mati ialah 73 orang.
Sementara itu, Hamza memberi jaminan keselamatan di Sabah dan orang ramai tidak perlu bimbang untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi Ahad ini.
"Sejak penamaan calon pada 20 April hingga semalam, polis menerima 322 laporan dan membuat lapan tangkapan berkaitan kesalahan membabitkan pilihan raya serta memantau lebih 2,500 ceramah," katanya.- BERNAMA