George Town, 3 Mei - Polis Pulau Pinang hari ini menahan enam 'bookie' yang telah mengumpul wang pertaruhan sempena pilihan raya umum ke-13 (PRU13) hampir RM1 juta sejak dua minggu lalu.
Jurucakap PRU13 Kontinjen Negeri, ACP Roslee Chik berkata para bookie itu ditahan di sekitar Datok Keramat, Paya Terubong dan Relau pada pukul 5 petang tadi.
"Mereka membuat urus niaga melalui panggilan telefon kepada pelanggan dan wang pertaruhan akan dimasukkan ke dalam akaun yang telah ditetapkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata pihak polis turut meminta bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Individu yang terbabit dalam kegiatan pertaruhan boleh didakwa mengikut Seksyen 63 Akta Pertaruhan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200,000 dan penjara tidak lebih lima tahun, katanya.- BERNAMA