Tindakan pantas peniaga wanita pecut kenderaan elak jadi mangsa samun
SHAH ALAM: Cubaan empat lelaki untuk menyamun seorang peniaga wanita di Taman Paling Jaya, Semenyih, awal pagi semalam gagal dengan tindakan pantas wanita berusia 45 tahun berkenaan memecut kenderaannya untuk menyelamatkan diri.
Dalam insiden kira-kira 12.30 tengah malam itu, wanita itu yang berada dalam keretanya untuk pulang ke rumah selepas berniaga, dihampiri empat lelaki yang menaiki kereta Perodua Myvi.
Dua daripada suspek kemudian keluar daripada kereta tersebut dan menghampiri kereta yang dinaiki mangsa sebelum memecahkan cermin tingkap kereta mangsa dipercayai untuk menyamunnya.
"Terkejut dengan tindakan itu dan bimbang akan dicederakan suspek, mangsa kemudian segera memecut keretanya untuk menyelamatkan diri," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Katanya mangsa telah memandu keretanya ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan.
Bertindak berdasarkan maklumat, katanya, empat lelaki yang berumur dalam lingkungan 19 hingga 26 tahun ditahan di Plaza Tol Sungai Ramal, Kajang pada kira-kira pukul 2 pagi semalam.