Khamis, 20 Disember 2012

Dirogol ketika balik kerja


KUALA LUMPUR - Seorang remaja berumur 18 tahun dirogol ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di sebuah pusat membeli-belah Wangsa Maju, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.15 malam itu, mangsa seorang diri berjalan kaki menuju ke stesen transit aliran ringan (LRT) Sri Rampai sebelum seorang lelaki berumur lingkungan 20-an tidak dikenali menekup muka mangsa dari belakang sebelum menariknya ke dalam semak berhampiran.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, kejadian berlaku terlalu pantas apabila suspek bertindak mengangkat mangsa yang meronta-ronta, ke bahagian tengah semak tanpa disedari orang ramai yang berada tidak jauh dari lokasi.

Menurutnya, suspek seterusnya bertindak merogol mangsa dan beredar sambil berpesan supaya mereka bertemu lagi keesokan harinya (semalam) hingga mengakibatkan trauma kepada remaja tersebut.

“Mangsa ditemui anggota Polis Bantuan stesen LRT dan kemudiannya diserahkan kepada sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Polis Wangsa Maju. Hasil pemeriksaan pihak hospital mengesahkan mangsa dirogol, namun mangsa tidak mengalami kecederaan di bahagian lain.

“Lelaki berkenaan sebelum itu didakwa sering kelihatan berkeliaran di sekitar kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat tentang suspek yang didapati berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan diminta memaklumkan segera kepada polis.

“Suspek dipercayai berbangsa Melayu, berbadan gempal dan berambut kerinting serta ketinggiannya lima kaki empat inci.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan, polis tidak menolak kemungkinan suspek terlibat merupakan penduduk di kawasan berhampiran dan merupakan seorang lelaki yang dikategorikan sebagai gila seks.

Lelaki berkenaan juga dikatakan suspek sama ditahan 18 September lalu kerana dilaporkan menunjukkan kemaluan ketika memberhentikan kereta bersebelahan wanita dalam perjalanan ke stesen LRT berkenaan.

Parah kepala ditembak


Parah kepala ditembak
PUCHONG – Belum sempat menghabiskan teh tarik yang dipesannya, seorang tukang tarik kenderaan cedera ditembak dengan jarak dekat di bahagian belakang kepala di sebuah restoran di Persiaran Puchong Permai 2, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa dikenali sebagai M Subramaniam, 29, dikatakan duduk minum dengan bapa saudara dan  abang iparnya di sebuah meja dalam restoran berkenaan.

Tidak sampai beberapa minit selepas mangsa duduk di kedai yang sering dikunjunginya itu, seorang lelaki kemudian dikatakan terus meluru ke arahnya  mengacu pistol dan terus melepaskan satu das tembakan.

Warga Emas Mati Dikelar Dalam Kuil Di George Town


GEORGE TOWN: Seorang lelaki warga emas ditemui mati dengan kesan kelar di leher dalam bilik simpanan barang sebuah kuil Hindu di Lebuh Penang di sini, Rabu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Supt Ismail Toh Paduka Idris berkata pada kejadian pukul 5 petang itu, seorang suspek memecah masuk kuil berkenaan menerusi pintu belakang sebelum membunuh mangsa, P. Muthu, 82, dengan menggunakan senjata tajam.
"Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat," katanya kepada pemberita di sini Rabu.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Operasi Unit Rondaan Bermotosikal Akan Diperluas - PM


KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia memperluaskan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) oleh anggota polis jika ia didapati berkesan dalam mengurangkan kadar jenayah di negara ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata operasi unit itu yang dilancarkan di Puchong hari ini akan dikaji keberkesanannya dalam tempoh enam bulan sebelum kerajaan membuat keputusan untuk menambah peruntukan untuk tujuan itu.
"Saya berharap ia (URB) akan diberi peluang untuk melakukan tugasan mereka, dalam tempoh masa enam bulan ini kita akan buat kajian semula.

Henti Sebar Khabar Angin Di Laman Sosial - KPN


KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar pada Rabu mengingatkan masyarakat supaya tidak menyebar khabar angin di laman sosial yang boleh menimbulkan ancaman kepada negara.
Ismail berkata masyarakat harus lebih bertanggungjawab serta memikirkan kesan negatif yang mungkin berlaku dengan penyebaran khabar angin yang tidak betul.
"Masyarakat seharusnya merujuk kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan kesahihan sesuatu kejadian, bukan menyebar khabar angin di laman sosial seperti Facebook, Twitter atau blog," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...