Jumaat, 1 Mac 2013

Lelaki Bersenjata Parang Larikan RM11,000 Dari Sebuah Bank Di Gelugor


GEORGE TOWN: Seorang lelaki bersenjatakan dua bilah parang melarikan RM11,000 dari sebuah bank di pasar raya besar Tesco di Gelugor, di sini dalam tempoh kurang 15 minit, Khamis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata pada kejadian pukul 12.56 tengah hari itu, suspek bertopeng serta memakai topi meluru masuk ke dalam bank itu dan mengacukan senjatanya ke arah pengawal keselamatan yang berada di pintu masuk.
"Lelaki berusia 20-an itu kemudiannya melempar beg kosong ke kaunter bank dan memaksa juruwang memasukkan wang tunai kira-kira RM11,000 ke dalam begnya sebelum melarikan diri," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Khamis, 28 Februari 2013

Polis boleh iringi guru kesan pelajar ponteng


Polis bersedia mengiringi guru yang ingin memantau pergerakan pelajar ponteng sekolah bagi memastikan keselamatan mereka.    

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, polis hanya akan berbuat demikian jika pihak sekolah meminta bantuan kerana polis tidak mempunyai kuasa mengambil tindakan undang-undang terhadap pelajar yang ponteng sekolah.

Beliau berkata hanya pihak sekolah mempunyai kuasa penuh mengambil tindakan disiplin terhadap pelajar berkenaan termasuk melaksanakan garis panduan bagi membanteras gejala itu.

Dibelasah gara-gara permusuhan rakan


KUALA LUMPUR - Gara-gara permusuhan antara rakan dengan sekumpulan samseng, seorang pemandu teksi mengalami kecederaan teruk di bahagian muka, badan dan tangan selepas dibelasah sekumpulan 10 lelaki di sebuah karaoke pada 24 Februari lalu.
Dalam kejadian pukul 1 pagi itu, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Leong, 44, mendakwa, dia diheret masuk ke dalam sebuah kereta oleh sekumpulan lapan lelaki ketika dalam perjalanan untuk bertemu rakannya di sebuah pub di Taman Maluri di sini.
Dakwanya, dia kemudian dibawa ke sebuah karaoke di Pandan Perdana di sini lalu dibelasah oleh kumpulan lelaki terbabit selama tiga jam selain dibogelkan.
"Saya turut disiram air panas dan dicucuh rokok serta lilin sebelum mereka meminta adik saya membayar RM10,000 bagi membebaskan saya," dakwanya ketika ditemui Kosmo! di Hospital Pantai Ampang, Pandan Indah di sini semalam.

Kapal ditahan bersama minyak curi RM252 juta


JOHOR BAHRU - Sebuah kapal tangki bersama muatan 70,000 tan metrik minyak jenis Marine Fuel Oil (MFO) bernilai RM252 juta ditahan di perairan Pengerang di sini pada Sabtu lalu selepas dilaporkan hilang di Tanjung Agas, Pekan, Pahang pada 10 Februari lepas.
Kapal itu, MT Bramani yang didaftarkan di Jakarta, Indonesia, ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan pada pukul 5 petang kira-kira 2.3 batu nautika dari tenggara Pulau Lima, Pengerang.

Rabu, 27 Februari 2013

Kanak-kanak 12 tahun hilang di Bukit Mertajam sejak Ahad lalu


BUKIT MERTAJAM: Seorang kanak-kanak lelaki Mohamad Daniel Haiqal Mohd Desa, 12, dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah bapa saudaranya di Flat Desa Wawasan, di sini, sejak Ahad lalu. 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Azman Abd Lah, berkata murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Sungai Rambai, di sini itu dilaporkan hilang antara 8 pagi hingga 9.30 pagi pada hari berkenaan. 

Katanya, bapa saudara Mohamad Daniel membuat laporan polis berhubung kehilangannya setelah kanak-kanak itu tidak pulang dan gagal dikesan. 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...