Ahad, 26 Mei 2013

MEDIA SOSIAL KDN BEKERJASAMA DENGAN SKMM, CYBER SECURITY BANTERAS KANDUNGAN LANGGAR UNDANG-UNDANG


Bagan Datoh, 25 Mei - Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta Cyber Security Malaysia untuk mengambil langkah segera membanteras penyaluran kandungan menyalahi undang-undang dalam media sosial oleh
kumpulan 'tentera siber' tertentu.

Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah segera itu bagi memastikan maklumat yang disampaikan oleh individu atau kumpulan siber menerusi pelbagai media sosial seperti Facebook, Twitter serta blog adalah telus dan benar.

"Apa yang menjadi rungutan adalah kandungan laman sosial dan blog termasuk oleh kumpulan Red Bean Army adalah kerana kandungan itu menyentuh perkara yang termaktub dalam Akta Hasutan dan (isu) perkauman yang sensitif serta bersifat fitnah (iaitu) terkeluar daripada prinsip undang-undang," katanya kepada
pemberita di sini hari ini.

SUSPEK HINA SULTAN TERENGGANU DALAM FACEBOOK DITAHAN


Cyberjaya, 25 Mei - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah berjaya mengesan suspek yang menghina DYMM Sultan Terengganu di laman Facebook-nya. Dengan kerjasama Polis, suspek berkenaan telah ditahan untuk disoalsiasat.

Jika didapati bersalah, dia boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau satu tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

SKMM memandang serius terhadap penyalahgunaan media sosial untuk memuatnaik kandungan yang berunsur menghina terutamanya institusi DiRaja Malaysia.

"Undang-undang negara berkuatkuasa tidak kira di mana-mana, baik di luar mahupun di dalam talian. Jenayah tetap jenayah, walaupun di dalam media sosial," kata Pengerusi SKMM, Dato' Mohamed Sharil Tarmizi.

"Pengguna media sosial perlu sedar bahawa mereka tidak sekebal seperti yang disangkakan. Oleh itu, kami menyeru kepada orang ramai supaya berhati-hati dan bersikap lebih bertanggungjawab semasa berkomunikasi di alam maya. Sesiapa yang melanggar lunas undang-undang akan dibawa ke muka pengadilan," tambah Dato' Sharil.

Jumaat, 24 Mei 2013

RM70,000 lesap kejar aset RM50j


Foto
Shah Alam: Gelap mata kerana ingin memiliki aset bernilai lebih RM50 juta, seorang lelaki berputih mata apabila terpaksa menanggung kerugian sehingga RM70,000 selepas melakukan transaksi wang 20 kali kepada beberapa wanita yang hanya dikenali melalui perbualan telefon bermula Ogos 2011 sehingga Februari tahun lalu.
Bagaikan dipukau, duda yang hanya mahu dikenali sebagai Din, 47, melakukan transaksi pertama sebanyak RM3,000 kononnya bagi menampung kos perubatan seorang wanita misteri bernama Nur Heliza Helmi iaitu sepupu kepada seorang wanita lain dikenali Saodah di Hospital Singapura dan ia kemudian berlarutan kepada bantuan kewangan kepada Saodah.
Din berkata, Saodah sering mengadu mengenai masalah kewangan yang dihadapi menyebabkan dia yang bersimpati melakukan transaksi minimum RM5,000 kepada Saodah sebelum menyedari ditipu apabila wanita itu enggan berjumpa dengannya selain gagal membayar semula pinjaman itu.

Bagaimanapun, wanita itu memberi tawaran untuk memberi aset miliknya berharga RM50 juta sebagai membayar hutang dan membalas budi baik lelaki itu.

133,000 MyKad hilang dalam tempoh tiga bulan


PUTRAJAYA: Kehilangan 133,000 MyKad dalam tempoh tiga bulan iaitu dari Januari hingga Mac tahun ini menimbulkan kebimbangan kepada kerajaan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. 

Menyifatkan jumlah itu agak tinggi, Ahmad Zahid berkata, kehilangan MyKad, walaupun tidak disengajakan, menyebabkan ia boleh diguna untuk tujuan jenayah. 

"Apa yang membimbangkan kami ialah jika kehilangan itu mempunyai kaitan dengan sindiket. Kami khuatir MyKad ini diguna untuk pelbagai tujuan terutama jenayah," katanya kepada pemberita selepas melawat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), di sini, hari ini. 

Polis tubuh pasukan khas siasat kematian tahanan di lokap


KUALA LUMPUR: Pihak polis menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat punca kematian tahanan ketika berada di lokap Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada 21 Mei lalu. 

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, siasatan terperinci akan dijalankan berhubung kematian seorang tahanan, Dharmendran Narayanasmy, 32 ketika berada di lokap di sini, kelmarin. 

Beliau berkata, berdasarkan bedah siasat yang dijalankan pasukan perubatan Hospital Kuala Lumpur semalam, mangsa mengalami kesan jenayah fizikal dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

"Saya memberi jaminan kepada keluarga mangsa dan masyarakat bahawa pihak polis akan menjalankan siasatan secara telus dan adil. 

"Kita tidak akan melindungi mana-mana pegawai dan anggota polis yang terbabit menangkap dan menyoal siasat mangsa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur di sini, hari ini. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...