Khamis, 27 Mac 2014

PAC puas hati aset PDRM

Kuala Lumpur: Mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Penggal Kedua yang diadakan di Parlimen hari ini, berpuas hati terhadap sistem pengurusan aset Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, PDRM masih melaksanakan tiga sistem iaitu Sistem Pemantauan Kehilangan Aset (PALMS), Sistem Pengurusan Aset Tak Alih (MySPATA) dan Sistem Pengurusan Aset Mudah Alih (MySPA). 
"Sistem ini digunakan untuk memantau kesemua aset PDRM seperti senjata api, kenderaan dan bangunan. Ia sedang dijalankan selepas Laporan Audit Negara 2012," katanya pada sidang media PAC di Parlimen di sini.
Menurutnya, PDRM melaksanakan tindakan dalam melatih anggota mereka lebih cermat dalam menggunakan aset termasuk membabitkan kes kehilangan pistol.
"Kami dimaklumkan insiden kehilangan senjata api PDRM menurun akibat pelaksanaan sistem baru ini dan tiada senjata api hilang yang digunakan dalam kes jenayah," katanya. 

Katanya, PDRM melakukan ujian balistik dalam memastikan pistol yang hilang sama ada digunakan dalam aktiviti jenayah. 

Sumber:mymetro

Rabu, 26 Mac 2014

Mayat tanpa kepala di pantai

Gambar hiasan
ROMPIN – Dua sahabat yang keduanya bekerja sebagai nelayan yang sedang asyik mengutip botol di Pantai Batu 6, Janglau, di sini sekitar jam 8 pagi tadi terkejut dengan penemuan satu mayat tanpa kepala terdampar di pantai.
Penduduk Sungai Meranti, Mohd Sharif Kupa, 47, berkata, beliau terkejut kerana tidak pernah lagi menemui mayat dalam keadaan sedemikian.
“Kami berdua memang hampir setiap pagi akan ke pantai untuk mencari botol yang dihanyutkan ombak. Tidak sangka pula pagi ini kami boleh terjumpa mayat yang tiada kepala.
“Ketika itu kami dalam perjalanan dengan menaiki motosikal untuk mengambil satu tong yang terdampar tidak jauh dengan lokasi mayat. Dari jauh sudah nampak dan memang syak itu adalah mayat, bila kami hampiri memang sah,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, beliau bersama dengan rakannya itu, Dolah Mat, 48, tidak membuang masa dan terus menghubungi pihak polis untuk memaklumkan mengenai penemuan mayat tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Johari Jahaya yang dihubungi mengesahkan kejadian.
“Mayat tanpa kepala berkenaan masih berpakaian baju t-shirt dan seluar pendek serta umurnya kemungkinan dalam lingkungan 30-an. Terdapat satu lubang di bahagian dada.
“Mayat tersebut sudah mula reput dan bangsanya masih belum dapat disahkan. Mayat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat,” katanya.

CUAI - Anggota RELA maut ditembak rakan

Tanah Merah: Seorang anggota RELA maut selepas ditembak rakannya secara tidak sengaja dipercayai menggunakan senapang patah ketika mereka berburu di Kampung Sokor di sini, kira-kira jam 7 malam semalam.
Mangsa Mohd Sukri Ramli, 51, yang dimasukkan ke Hospital Tanah Merah sejurus kejadian disahkan meninggal dunia jam 1.50 pagi tadi.
Sumber:mymetro

PDRM Komited Perangi Jenayah, Antara Ikrar Sempena Sambutan Hari Polis Ke-207



KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat Malaysia menyokong polis dan memainkan peranan aktif mengurangkan kadar jenayah dan mengekalkan keamanan negara sempena sambutan Hari Polis ke-207.

Beliau berkata setiap individu atau organsasi perlu memikul tanggungjawab bersama pasukan keselamatan untuk meningkatkan keberkesanan untuk memerangi jenayah.

Katanya, masyarakat tidak perlu berkhidmat di dalam pasukan polis atau menawarkan diri menjadi sukarelawan polis untuk menyedari kepentingan membanteras jenayah secara holistik.

Pada sambutan itu, Perdana Menteri memeriksa kawalan kehormatan dan menyaksikan perbarisan oleh kira-kira 2,000 pegawai dan anggota polis di Dataran Kawad Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini Selasa.

Beliau turut menyampaikan Anugerah Kenaikan Pangkat Secara Medan kepada 23 pegawai dan anggota polis.

Selasa, 25 Mac 2014

MH370: PM mahu polis siasat segenap sudut


KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan rapi dari segenap sudut berhubung tragedi yang menimpa MH370.

Perdana Menteri berkata walaupun jawapan sebenar kepada misteri kehilangan pesawat itu hanya boleh diketahui melalui rakaman perbualan kokpit di dalam kotak hitam, namun mereka perlu komited dan profesional semasa menjalankan siasatan.

"Siasatan lain amat perlu dilakukan kerana keluarga mangsa mahukan jawapan segera. Ini merupakan satu tragedi besar dan menyayat hati Malaysia dan negara lain.

"Misi menjejaki pesawat MH370 dijalankan bersama PDRM, Angkatan Tentera Malaysia dan 26 buah negara, namun siasatan punca kejadian perlu dilakukan secara rapi bagi mengurangkan spekulasi," katanya dalam ucapan perasmian sambutan Peringatan Hari Polis ke-207 di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak di sini, hari ini.

Dalam sidang akhbar malam tadi, Najib mengumumkan penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

Sehubungan itu, polis juga telah mengambil keterangan lebih 50 individu bagi membantu siasatan kehilangan pesawat terbabit.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata antara yang sudah diambil keterangannya ialah staf Jabatan Penerbangan Awam, anggota Tentera Udara Diraja Malaysia selain anggota keluarga penumpang dan anak kapal MH370.

Siasatan masih berdasarkan kepada empat aspek yang diumum sebelum ini iaitu kemungkinan dirampas, sabotaj, keadaan psikologi dan masalah peribadi penumpang serta anak kapal.

Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam 8 Mac menuju Beijing, hilang daripada skrin radar sejam kemudian.


Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...