Jumaat, 11 April 2014

TEMPOH SETENGAH JAM 2 BUAH RUMAH DISAMUN ??


KUANTAN - Dua buah rumah di Kampung Telengging, Kuala Krau dekat Temerloh disamun dalam tempoh setengah jam dipercayai dilakukan oleh kumpulan penjenayah yang sama hari ini.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, kejadian pertama berlaku kira-kira pukul 3.30 pagi di sebuah rumah yang didiami lima sekeluarga.
"Pengadu, 59, yang bekerja sebagai pemandu jentera berat, terjaga dari tidur setelah terdengar bunyi bising dan apabila turun ke tingkat bawah didapati isterinya, 50-an, dan tiga anaknya dikumpulkan di satu tempat.
"Suspek yang menutup muka dan bersenjatakan parang serta pemotong besi itu kemudiannya bertindak mengikat pengadu sekeluarga sebelum menggeledah rumah mereka," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata, suspek kemudian melarikan wang tunai RM200, telefon bimbit dan kunci kereta pengadu.
Tambah Abdul Aziz, tidak sampai setengah jam selepas itu, kumpulan berkenaan menceroboh rumah seorang penoreh getah, 40, di kampung sama dan melarikan barang kemas, telefon bimbit dan wang tunai RM800.
"Kejadian pukul 4 pagi itu berlaku semasa mangsa bersama ibunya, 60-an, sedang nyenyak tidur tiba-tiba dikejutkan suspek.
"Ibu mangsa yang terkejut dengan kehadiran suspek tiba-tiba terkena serangan jantung lalu jatuh namun suspek yang tidak bertimbang rasa itu telah mengikat mangsa dan ibunya.
"Selepas menggeledah rumah mangsa, suspek kemudiannya bertindak melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan," katanya.
Ujarnya, berdasarkan keterangan pengadu polis percaya kesemua suspek merupakan warga asing. - Bernama

Polis rampas dadah bernilai RM5.7j di Rantau Panjang


KOTA BHARU 10 April - Polis Kelantan merampas 199,791 biji pil kuda dan 350 botol disyaki mengandungi dadah jenis heroin bernilai 5.7 juta di sebuah rumah di Kampung Lubuk Gong, Rantau Panjang di sini, kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira pukul 9 malam itu, anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Tanah merah turut menahan lima sekeluarga termasuk kanak-kanak berusia 2 tahun yang berada dalam berada rumah tersebut.

Bagaimanapun Ketua Polis negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, suspek utama yang juga bapa kepada kanak-kanak terbabit berjaya melarikan diri.

Tambahnya, suspek yang berusia 47 tahun dikatakan berada di selatan Thailand dan operasi memburunya sedang giat dijalankan dengan kerjasama polis negara jiran itu.

Ini merupakan rampasan dadah terbesar di negeri ini pada tahun ini. - UTUSAN ONLINE

Khamis, 10 April 2014

Kontraktor parah ditetak penyamun

Kajang: Seorang kontraktor parah di lengan akibat ditetak dengan sebilah parang panjang dalam kejadian samun di kediamannya di Taman Puncak Utama, Balakong, dekat sini, Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi itu, mangsa KS Sanvan, 31, terpaksa menanggung kesakitan apabila luka yang dialaminya hingga ke bahagian tulang.
Difahamkan, kumpulan penjenayah terbabit mengambil kesempatan masuk melalui pintu depan yang terbuka kerana ibu mangsa berusia 55 tahun ketika itu rumah sedang menjemur pakaian di luar rumah.
Menceritakan semula kejadian itu, Sanvan berkata, ketika itu dia berada di dalam bilik tingkat atas rumahnya sebelum dikejutkan dengan bunyi bising.
“Saya ingatkan ibu saya jatuh dan mahu turun melihatnya namun sebaik membuka pintu bilik saya terkejut apabila mendapati tiga lelaki meluru masuk ke dalam bilik dan mengarahkan saya duduk.
“Ketika itu, saya merayu supaya tidak dicederakan sebelum menyerahkan rantai dan cincin emas kepada mereka,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Sanvan berkata, penjenayah terbabit masih tidak berpuas hati dan memintanya menyerahkan lagi barangan lain sebelum melibas parang ke lengannya.
“Suspek menggeledah almari dan melarikan barangan kemas ibu saya bernilai lebih RM40,000 sebelum melarikan diri.
“Selain itu, turut dilarikan dua telefon bimbit, wang tunai RM180 serta syiling berjumlah RM800 dan kad bank,” katanya.
Dia kemudiannya dibawa jirannya ke Hospital Pakar Kajang untuk menerima rawatan sebelum membuat laporan di Balai Polis Kajang pada hari sama.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintendan Abdul Ghani Mohamad Ji ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.

AWAS: ‘Penyelenggara Penghawa Dingin’ kebas RM5,000

Gambar hiasan
Klang: Seorang lelaki menyamar sebagai penyelenggara penghawa dingin sebelum melarikan pelbagai barangan berharga milik sebuah keluarga mengakibatkan kerugian RM5,000, dalam kejadian di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 5 petang itu, suspek memperdayakan seorang remaja perempuan yang tinggal bersendirian menyebabkan dia bukan saja dibenarkan masuk ke rumah malah ke bilik utama pemilik rumah itu.
Difahamkan, pada mulanya anak perempuan mangsa berusia 17 tahun tidak mengesyaki apa-apa, namun selepas mendapati suspek masuk ke rumah selama beberapa minit, dia mula mengesyaki apabila lelaki itu bergegas keluar dari bilik tergesa-gesa.
Remaja berkenaan melakukan pemeriksaan dalam bilik ibu bapanya sebelum mendapati pintu almari dan kotak berisi barang kemas termasuk rantai, rantai tangan, gelang tangan, cincin, subang dan loket emas ibunya lesap.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat (gambar) ketika mengesahkan mengenai kejadian itu berkata, kejadian laporan kejadian itu dibuat seorang lelaki berusia 38 tahun di Balai Polis Bandar Baru Klang, awal pagi semalam.
Sumber:Mymetro

Rabu, 9 April 2014

CRIME ALERT: WASPADA ‘LONE RANGER’

Gambar hiasan

Pengiklanan penjualan kenderaan melalui laman sesawang boleh mengundang padah jika anda tidak mengambil langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya. 

Terkini, penjenayah memperdaya mangsa (penjual kenderaan) dengan tipu helah untuk menguji kenderaan di malam hari yang kemudiannya akan dilarikan. Sasarannya adalah kenderaan terpakai.

Kelicikan penjenayah memperdaya mangsa yang mengiklankan kenderaan dalam laman sesawang menyebabkannya digelar 'Lone Ranger' kerana bergerak secara bersendirian.

Ikuti MO dan nasihat dari pihak polis bagi mengelakkan anda daripada menjadi mangsa seterusnya.

Modus Operandi: 

- Mangsa yang mengiklankan kereta miliknya dalam laman sesawang akan dihubungi suspek beberapa kali selepas memuat naik gambar kenderaannya dalam laman berkenaan. 

- Suspek akan mengumpan mangsa untuk bertemunya pada waktu malam sebelum melarikan kenderaan milik individu terbabit. 

- Suspek akan bertegas untuk bertemu waktu malam sahaja dan meminta izin mangsa kononnya untuk memandu uji kereta berkenaan. 

- Suspek akan memandu kereta tersebut di sekitar kawasan berkenaan sebelum berpura-pura berpuas hati dengan kenderaan yang hendak dibeli.

- Suspek terbabit akan mengeluarkan sekeping cek dan menyerahkannya kepada mangsa sambil mengarahkan mangsa untuk turun daripada kereta bagi menyemak cek berkenaan di kawasan terang. 

- Suspek akan mengambil kesempatan melarikan kenderaan berkenaan dengan meninggalkan sebuah kereta miliknya yang dipercayai kenderaan curi.

Nasihat:

- Semasa berjumpa dengan suspek untuk tujuan jual beli kenderaan, disarankan untuk membawa rakan bersama-sama. 

- Tidak panik dan kenal pasti wajah suspek seperti (bangsa, pakaian dan jantina). 

- Lakukan urusan jual beli kenderaan bersama ejen berdaftar dan bukan secara perseorangan. 

- Pastikan masa urusan ditukar pada waktu siang dan di tempat yang tidak sunyi. 

- Pastikan kawasan yang diberhentikan kenderaan adalah kawasan yang sama dengan kawasan yang dimulakan. (Disarankan supaya kawasan yang ramai orang atau banyak kenderaan kerana ia akan melambatkan pergerakan suspek untuk melarikan kenderaan) 

- Memadai memuat naik beberapa bahagian tertentu sahaja seperti gambar bahagian depan, sisi dan belakang kereta semasa membuat pengiklanan jualan kenderaan di laman sesawang.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...