Isnin, 28 April 2014

Polis Tahan Penuntut IPTS Disyaki Buang Bayi Dalam Mangkuk Tandas


KUALA TERENGGANU, 27 April (Bernama) -- Seorang penuntut perempuan sebuah pusat pengajian tinggi swasta ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pembuangan bayi lelaki yang baru dilahirkan di Padang Hiliran di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP K.Manoharan berkata suspek yang berusia 21 tahun itu ditahan pukul 3 petang Khamis lalu setelah selesai menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

"Bagaimanapun, remaja itu dibebaskan tiga jam kemudian dengan jaminan polis selepas selesai memberi keterangan ekoran keadaannya yang masih lemah," katanya kepada BERNAMA, Ahad.

Selasa lepas, penuntut itu disyaki bertindak membuang bayi lelaki yang cukup sifat ke dalam mangkuk tandas di rumah sewanya di Kuala Terengganu.

Kejadian itu disedari rakan serumah penuntut berkenaan pukul 2.30 pagi selepas melihat suspek terbaring di depan pintu tandas dalam keadaan lemah selain terkejut melihat tompokan darah dan seorang bayi di dalam mangkuk tandas.

Manoharan berkata hasil bedah siasat mendapati bayi berusia 38 minggu itu meninggal dunia ketika dilahirkan.

Beliau berkata pihaknya juga mengambil keterangan anggota keluarga suspek serta teman lelakinya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran.

--BERNAMA

Ahad, 27 April 2014

Salah laku pelajar membimbangkan


KUALA KUBU BHARU - Masalah salah laku pelajar perlu dibendung dari awal bagi mengelak menjadi barah yang mengundang kepada kegiatan jenayah dalam kalangan pelajar.

Sehubungan itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, penubuhan Kor Kadet Polis Diraja Malaysia (PDRM) antara langkah yang dapat menangani masalah tersebut selain dapat menjadikan pelajar sebagai role model di sekolah serta menjadi mata dan telinga guru mengekang masalah itu.

“Statistik jenayah pelajar di Selangor sepanjang tempoh Januari hingga Disember 2013 mencatatkan angka sebanyak 873 orang berumur dalam lingkungan tujuh hingga 18 tahun.

“Manakala sehingga Mac 2014 statistik menunjukkan jumlah jenayah melibatkan pelajar mencatatkan jumlah keseluruhan sebanyak 135 orang yang berumur dalam lingkungan usia sama.

“Di sinilah peranan pegawai dan pelajar kor kadet polis diperlukan dalam membantu pihak sekolah dan polis membendung gejala salah laku dan kegiatan jenayah di dalam sekolah dari peringkat awal lagi,” katanya ketika menyempurnakan majlis penutup Perkhemahan Kor Kadet Polis Peringkat Negeri Selangor, semalam.

IBU TUNGGAL Mencari Jalan Mudah Menjual Dadah


KOTA BHARU- Seorang ibu tunggal didakwa di mahkamah majistret di sini semalam atas dua pertuduhan memiliki dadah berbahaya pada 19 April lalu.

Tertuduh, Noor Azlina Ilias,34, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di depan Majistret Nik Habri Muhamad.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didapati memiliki satu botol plastik cerah berisi serbuk putih 2.5 gram yang disyaki dadah merbahaya jenis heroin. Manakala pertuduhan kedua, tertuduh didapati memiliki satu tiub straw berisi lima biji pil kemerahan 0.5 gram disyaki dadah berbahaya jenis ‘methamphetamine.

Kesemua kesalahan tersebut dilakukan pada 19 April lalu di sebuah rumah di Jalan Pintu Geng.

Dua Sahabat Didakwa Merogol Gadis


KOTA BHARU - Dua sahabat dihadapkan ke mahkamah Sesyen di sini kelmarin atas tuduhan merogol seorang wanita, April lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh Muhammad Hanif  Mazlan, 22, dan Zalani Yusoh, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Mohd Yusoff Yunus.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 22 tahun pada 10 April lalu, jam 11.30 pagi di flat Taman Bahagia, di sini.

Pendakwaan kes di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan. Tertakluk kepada subsekyen (2),(3) dan (4), yang boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Tertuduh pertama, Muhammad Hanif bagaimanapun, berhadapan satu lagi dakwaan merogol mangsa yang sama iaitu pada tarikh yang sama pada jam 4 petang hingga 4.30 petang di sebuah rumah di Desa Harmoni, Wakaf Che Yeh.

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nurhilwani Mat Rifin dan wang jaminan tidak ditawarkan. Mahkamah menetapkan 27 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Ops Cantas Khas PGA Banteras Jenayah Dan Perlu Diteruskan


KOTA BHARU - Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya mematahkan 140 pelbagai kes jenayah dengan nilai rampasan bernilai RM7,007,767  sejak Ops Cantas Khas PGA diperkenalkan Oktober tahun lalu.

Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA, Superintendan Dahlan Mood Noor berkata, seramai 45 anggotanya ditempatkan bersama polis di daerah terpilih bagi membantu terutamanya di kawasan sempadan yang amat sensitif dengan maklumat penyeludupan barang-barang terlarang.

Menurutnya, operasi tersebut yang baru sahaja menamatkan fasa keempat ternyata memberi impak yang positif dalam kes jenayah rentas sempadan memandangkan angka tangkapan sentiasa meningkat.

“Antara kes yang paling tinggi berjaya dipatahkan adalah melibatkan dadah. Bagi mengekang kebanjiran pil kuda di daerah-daerah berpotensi, kami akan pergiatkan lagi operasi pada masa akan datang.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...