Jumaat, 18 September 2015

Nurul Izzah akan disiasat


SHAH ALAM - Nurul Izzah Anwar akan disiasat kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen.

Menurut laporan The Malaysian Insider, polis hadir ke pejabat Naib Presiden PKR tersebut untuk soal siasat tetapi Nurul Izzah tiada.

“Nurul Izzah disiasat mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan tetapi masih belum disoal siasat,” kata peguam Nurul Izzah, Latheefa Koya.

Pada waktu ini, Nurul Izzah berada di Amerika Syarikat dalam usahanya mengumpul tekanan antarabangsa terhadap kerajaan untuk memberi bantuan perubatan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Rabu, 16 September 2015

Sah mayat Kevin Morais dalam tong dram

SUBANG - Polis mengesahkan mayat yang dijumpai disimen dalam tong dram di kawasan paya bertentangan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chee Wen di Jalan Subang 3 adalah Kevin Anthony Morais.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh mengesahkan perkara dalam satu sidang akhbar sebentar tadi.
"Penemuan mayat itu susulan penahanan tujuh suspek semalam di Pulau Pinang dan di Lembah Klang," jelasnya.

Beliau menambah, pembunuhan mangsa mempunyai kaitan dengan satu kes rasuah membabitkan seorang lelaki bergelar doktor di Mahkamah Shah Alam dua minggu lepas. 
Sumber: KLIK DISINI

Selasa, 15 September 2015

Polis mohon semula 'Notis Merah' tahan Claire

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiapkan permohonan semula "Notis Merah" kepada Interpol di Perancis untuk menahan dan mengekstradisi pengasas dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya sedang melengkapkan permohonan itu bagi membolehkan polis menyiasat laporan berbaur fitnah yang dibuat oleh Claire.

"Apabila telah lengkap dengan keterangan terhadapnya kita akan merayu semula kepada Interpol untuk letak dia dalam senarai 'Red Alert'," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Biro Maritim Antarabangsa di sini, hari ini.

Isnin, 14 September 2015

POLIS NAFI LAPORAN MAT REMPIT BERBAJU MERAH BERKELIARAN DI IBU KOTA


Kuala Lumpur , 13 Sept - Polis menafikan kesahihan berita dan gambar sekumpulan mat rempit berbaju merah sedang berkumpul dan berkeliaran di Jalan Chow Kit, Pavilion dan Bukit Bintang seperti yang tersebar di media sosial.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa berkata penyebaran gambar itu adalah tidak benar sama sekali dan tiada kumpulan berkenaan sedang berkeliaran di bandar raya ini.
Tiada sebarang penutupan jalan di sekitar Kuala Lumpur terutamanya jalan-jalan yang menuju ke Plaza Low Yat.
"Orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan pengesahan daripada mana-mana balai polis berhampiran, dan tidak mempercayai atau terpengaruh dengan penyebaran gambar dan berita yang tidak berasas itu," kata beliau dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata tindakan tegas akan diambil mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan ke atas mana-mana individu yang dipercayai menyebarkan maklumat berunsur hasutan dan menakut-nakutkan orang ramai.
Datuk Tajuddin berkata, pihaknya akan sentiasa memastikan keselamatan orang ramai dan ketenteraman awam di sekitar Kuala Lumpur akan terus terjamin.
"Setiap maklumat yang diterima perlulah disahkan serta diperoleh daripada sumber yang benar atau pihak berkuasa," katanya.
- BERNAMA


MAYAT LELAKI DENGAN KESAN TETAK DITEMUI DI TEPI LEBUH RAYA

Gambar hiasan

Bukit Kayu Hitam, 13 Sept - Mayat seorang lelaki ditemui dengan kesan tetakan di beberapa bahagian badannya di tepi Lebuhraya Utara-Selatan menghala Bukit Kayu Hitam berhampiran Kampung Padang Satu di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, ACP Mohd Nashir Ya berkata, mayat lelaki berusia lingkungan 40-an dengan kesan tetak di dahi, belakang kepala dan kedua-dua tangan ditemui hasil maklumat orang awam kira-kira 9.30 pagi tadi.

"Polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri. Tetapi kita menjumpai sebuah telefon bimbit dan sedang menjalankan siasatan," katanya.


Mayat lelaki itu menurutnya, telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas dakwaan membunuh - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...