Isnin, 9 Jun 2014

JURUTEKNIK SYARIKAT KAWALAN KESELAMATAN DISYAKI LARIKAN RM235,000

Gambar hiasan
Ipoh, 8 Jun - Polis menahan seorang juruteknik syarikat kawalan keselamatan di sini kelmarin kerana disyaki melarikan wang tunai RM235,000 ketika memungut wang daripada mesin juruwang automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM) di sekitar Ipoh dan Kampar.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak Supt Maszely Minhad berkata suspek yang berumur 23 tahun itu ditahan pada pukul 6 petang, selepas pengurus syarikat berkenaan membuat laporan polis berhubung kejadian itu Rabu lepas.

Beliau berkata susulan daripada tangkapan itu, pada hari yang sama, pemeriksaan dijalankan di kawasan hutan terpencil di Kampung Bunga Tanjung, Malim Nawar dekat Kampar di sini, dan menemui RM210,000 daripada jumlah keseluruhan wang yang dilarikan.

SEORANG LELAKI DITAHAN, VCD BERNILAI RM750,000 DIRAMPAS


Ipoh, 8 Jun - Polis menahan seorang lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Pertama di sini, semalam dan merampas 151,000 cakera padat video (VCD) cetak rompak bernilai kira-kira RM750,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak Supt Maszely Minhad berkata serbuan yang dijalankan pada pukul 3 petang itu turut merampas 70 unit mesi penyalin, tujuh unit pemprosesan pusat (CPU) dan 12 buku bil tunai.

"Kebanyakan VCD berkenaan merupakan filem Inggeris dan China yang dipasarkan di sekitar negeri ini," katanya pada sidang media di Balai Polis Sungai Senam di sini hari ini.

Ahad, 8 Jun 2014

Pasukan Polis Marin (PPM) Patahkan Penyeludupan Diesel


TAHNIAH DAN TERUSKAN

Masai, 7 Jun - Cubaan menyeludup 310,000 liter minyak diesel bersubsidi menggunakan sebuah kapal tangki yang dipercayai untuk diseludup keluar gagal setelah berjaya dipatahkan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Pengerang bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kota Tinggi dalam operasi bersepadu di Kuala Sungai Kong - Kong, dekat sini, petang tadi.

Komander PPM Wilayah Dua, ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata dalam operasi itu, pasukannya telah menahan sebuah kapal tangki yang berdaftar sebagai ‘Hui Cai’ bersama empat orang lelaki warga tempatan bekerja di atas kapal tersebut.

“Setelah diperiksa, kami menemui empat buah tangki berisi 310,000 liter minyak diesel dan mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah berkaitan minyak tersebut,” katanya lagi.

Nilai kesemua rampasan minyak diesel termasuk kapal dianggarkan bernilai RM2.6 juta dan keempat-empat lelaki tersebut telah ditahan serta diserahkan kepada KPDNKK Kota Tinggi untuk siasatan lanjut.

Sabtu, 7 Jun 2014

LELAKI DITEMBAK MATI DI HADAPAN KUIL DI PUCHONG


Niat seorang suami pergi ke kuil bagi mendoakan isteri selamat melahirkan anak sulung berakhir tragedi selepas ditembak mati dalam kejadian di hadapan sebuah kuil di Jalan Bandar 3, Puchong. 

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa A Ragan,31, yang menjalankan perniagaan kedai bunga di Puchong dan Klang itu cedera di bahagian kepala dan badan. 

Anak saudara mangsa, Kalidasan Parmasivam, 15, berkata ketika kejadian dia, mangsa dan neneknya baru selesai bersembahyang bagi mendoakan keselamatan isteri mangsa. 

65 Daripada Mereka Adalah Pelajar Mangsa Rogol


KOTA BHARU - Seramai 84 daripada 91 mangsa rogol di Kelantan adalah remaja bawah umur 18 tahun berdasarkan statistik dalam tempoh Januari hingga Mei, tahun ini.

Secara keseluruhan jumlah mangsa rogol dalam tempoh itu menunjukkan penurunan sebanyak 1.09 peratus berbanding 2013, walaupun berlaku sedikit peningkatan kepada jumlah mangsa bawah umur dalam tempoh yang sama.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, 84 mangsa itu turut terdiri daripada pelajar yang berusia seawal 13 tahun iaitu seramai 15 orang, lebih rendah berbanding jumlah 20 orang, tahun lalu.

“Mereka yang terdiri daripada usia 14 tahun pula seramai 24 orang; 15 tahun sebanyak 23 orang; 16 tahun berjumlah 15 orang dan 17 tahun seramai tujuh orang, manakala mangsa selebihnya berusia 18 tahun dan ke atas.

“Daripada jumlah itu juga, 65 daripada mereka adalah pelajar. Jumlah tersebut menurun daripada 66 orang pelajar bagi tempoh sama, tahun lalu,” katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...