KUALA LUMPUR - Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) meminta polis menyiasat bagi membuktikan kesahihan laporan dua siasatan dalamannya berhubung isu rambut pelatih keturunan Sikh yang didakwa dipotong pada 16 Januari lepas.
Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, siasatan itu diminta menerusi laporan polis kedua yang dibuat Komandan Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Sungai Bakap Mejar Shamsudin Abdul Aziz pada Selasa lepas.
“Komandan Kem PLKN Sungai Bakap telah membuat laporan polis bagi kali kedua pada 15 Mac di Balai Polis Bandar Baru, Kedah supaya pihak polis boleh mengambil tindakan sewajarnya jika siasatan mendapati laporan berkenaan didapati tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.
Abdul Hadi berkata, ini kerana masih ada golongan tertentu menggunakan isu itu bagi kepentingan mereka, sekalipun dua siasatan dalaman JLKN tidak menemui sebarang bukti penglibatan pelatih lain atau pihak PLKN dalam kes tersebut.
Pada Januari lepas, seorang pelatih PLKN di Kem Sungai Bakap, Pulau Pinang, Basant Singh Surinderpal Singh mendakwa rambutnya dipotong semasa beliau sedang tidur.
Berikutan dakwaan itu, JLKN menjalankan dua siasatan dalaman menerusi jawatankuasa siasatan peringkat kem dan lembaga siasatan peringkat ibu pejabat.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, kes itu yang telah dibincang secara mendalam pada peringkat Kementerian Pertahanan dipandang serius oleh Menterinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. - Bernama