KETUA Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd Shariff menunjukkan wajah suspek kes culik yang dikehendaki polis, Sam Meng Yeow @ Ah Sam (kiri) dan Lier Chee Wei @ William pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontingen Johor Bahru, di Johor, 2 Mac. - Utusan/RAJA JAAFAR ALI
JOHOR BAHARU, 2 Mac (Bernama) -- Polis Johor sedang mencari dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung satu kes culik membabitkan keluarga seorang ahli perniagaan rakyat Singapura di kawasan Permas Jaya, di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata lelaki itu ialah Liew Chee Wei @ William, memiliki kad pengenalan bernombor 800826-01-6099 dan Sam Meng Yeow @ Ah Sam, memiliki kad pengenalan bernombor 800118-01-5925.
"Saya mengesahkan kejadian culik itu berlaku dan buat masa ini kita sedang mencari dua lelaki ini bagi membantu siasatan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada Rabu.
Mohd Mokhtar yang enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu berkata satu pasukan khas telah ditubuhkan bagi menyelesaikan kes tersebut.
Beliau berkata polis turut menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa Singapura bagi mengenal pasti suspek yang terlibat.
Baru-baru ini, sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan melaporkan seorang ahli perniagaan dari Singapura dipaksa membayar sejumlah SD9 juta (RM20.7 juta) untuk membebaskan isteri, anak perempuan serta pembantu rumahnya yang diculik.
Difahamkan, ahli keluarganya itu diculik di kawasan Permas Jaya di sini ketika dalam perjalanan pulang menaiki kereta ke rumah.
Ketiga-tiga mangsa dibebaskan di sekitar kawasan Danga Bay setelah dua hari wang tebusan tersebut dijelaskan.
Dalam kes berasingan, beliau berkata polis menahan seorang lelaki Indonesia di Jalan Waja Utama, Taman Johor Jaya di sini Khamis lalu dipercayai terlibat menyamun wang RM80,000 daripada seorang mangsa di sebuah bank di Jalan Masai di sini pada hari yang sama.
Beliau berkata polis merampas wang tunai berjumlah RM74,800, sebuah kereta Proton Waja yang dilaporkan hilang di Sungai Besi, Kuala Lumpur dan dua parang berukuran 14 inci, daripada lelaki tersebut.
Katanya lelaki berumur 36 tahun itu kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.