Isnin, 21 Mei 2012

Polis Terengganu tahan tiga, seorang masih diburu terlibat Bersih 3.0


Image Detail
KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu berjaya memburu dan menahan tiga individu yang dipercayai terbabit dalam rusuhan semasa perhimpunan bertukar ganas di ibu negara pada 28 April lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa, berkata tiga lelaki terbabit adalah antara empat yang diburu di negeri ini, selepas identiti yang terlibat rusuhan itu didedahkan Bukit Aman awal bulan ini.

"Kesemua mereka yang berusia antara 20-an dan 40-an ditahan di rumah masing-masing iaitu dua di Marang dan seorang di Kemaman, manakala seorang lagi yang masih diburu berasal dari Dungun," katanya di sini, hari ini.
Katanya, ketiga-tiga lelaki terbabit telah diserahkan kepada Bukit Aman.

Pada 9 Mei lalu, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dilapor memberi tempoh tujuh hari kepada individu yang gambarnya disiarkan polis untuk menyerah diri, bagi membantu siasatan berhubung kejadian rusuhan pada perhimpunan anjuran badan bukan kerajaan yang disokong pembangkang itu.

Pada Sabtu lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh dilapor berkata polis masih memburu 113 daripada 141 individu yang gambarnya disiarkan polis menerusi media massa. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...