Isnin, 25 Jun 2012

HARAPKAN PAGAR, PAGAR MAKAN PADI ???

Gambar hiasan

Rompak mesin ATM: Tiga pengawal ditahan




KUALA LUMPUR: Tiga pengawal keselamatan berusia antara 30 hingga 50 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes rompakan mesin juruwang automatik (ATM) dianggarkan bernilai RM80,000 di sebuah pasar raya di Taman Permata, Ampang, di sini, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Md Nazri Zawawi berkata, ketiga-tiga mereka ditahan di pasar raya berkenaan, jam 1 tengah hari kelmarin.

Menurutnya, semua mereka direman bermula semalam hingga esok bagi membantu siasatan.


Mengulas lanjut kejadian itu, Md Nazri berkata, dalam kejadian jam 5.15 pagi kelmarin, seorang daripada pengawal keselamatan menghubungi polis selepas mendapati mesin ATM dipecahkan sebelum pihak berkuasa bergegas ke lokasi kejadian untuk siasatan.

“Disebabkan ada keraguan dalam keterangan pengawal keselamatan itu, kami menahan mereka bagi membantu siasatan,” katanya ketika ditemui pada majlis Hari Kesedaran Jenayah peringkat daerah Ampang Jaya yang dirasmikan Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegan.


Menurutnya, pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan kes pecah mesin ATM itu dilakukan kumpulan sama berdasarkan modus operandi membabitkan beberapa kes rompakan mesin ATM di sekitar Lembah Klang.


“Kita menjalankan siasatan, termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup bagi mengesan suspek,” katanya.

Sementara itu, Thaiveegan dalam ucapannya berkata, orang ramai perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam mengurangkan kadar jenayah serta mengelakkan mereka menjadi mangsa.


Tambahnya, orang awam boleh menyalurkan maklumat jika melihat perbuatan jenayah berlaku di kawasan perumahan atau di mana-mana saja.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...