Rabu, 27 Jun 2012

PDRM sedia jalankan perbicaraan pantas




KANGAR 27 Jun - Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia untuk melaksanakan perbicaraan pantas iaitu proses pendakwaan ke atas tertuduh di mahkamah yang perlu dilaksanakan dalam tempoh 90 hari selepas pertuduhan, mulai bulan depan.

Perbicaraan pantas melibatkan kesalahan kes membabitkan hukuman penjara maksimum 10 tahun mengikut Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan 2010/11) dan ia juga tidak melibatkan kes jenayah seksual dan juga kanak-kanak.

Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Perundangan dan Siasatan PDRM, Datuk Razali Basri berkata, semua pegawai penyiasat dan penyelia siasatan sedang diberi pemahaman dan pendedahan bagi mengendalikan siasatan untuk kes-kes perbicaraan ini.

“Melalui perbicaraan pantas ini, ia akan menjimatkan masa di mana kes-kes tertentu tidak perlu melalui tempoh perbicaraan yang lama di mahkamah.

“Konsep perbicaraan pantas ini telah dilaksanakan dan berhasil di negara Barat seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom," katanya pada sidang akhbar di Mes Pegawai Polis PDRM di Jalan Raja Muda di sini hari ini. - UTUSAN
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...