Isnin, 16 Julai 2012

TM rugi lebih RM750,000 gara-gara kes curi kabel


TM rugi lebih RM750,000 gara-gara kes curi kabel

KUALA TERENGGANU – Telekom Malaysia (TM) Terengganu mengalami kerugian kira-kira RM750, 000 berikutan lebih 200 kes kecurian kabel yang direkodkan mulai Januari hingga Jun tahun ini.

Pengurus Besarnya, Hamidon Ismail berkata, daerah Besut dan Setiu mencatatkan kes kecurian kabel paling tinggi manakala penjenayah dilihat semakin berani dengan pelbagai taktik yang digunakan.

“Kita tidak nafikan berikutan masalah ini, kami terpaksa menanggung kerugian yang tinggi terutamanya bagi kerja-kerja pemasangan semula kabel, di samping dalam masa sama, perkhidmatan kepada pelanggan juga turut terjejas.

“Menyedari kes jenayah yang menunjukkan peningkatan yang agak membimbangkan ini, pihak kami (TM) sentiasa bekerjasama erat dengan pihak berkuasa dan kita juga memerlukan bantuan serta sokongan masyarakat setempat untuk segera melaporkan jika menyedari jenayah itu di kawasan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Sehari Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Bersama TM dan Masyarakat di Perumahan Polis Padang Hiliran, di sini, semalam.

Hamidon berkata, berikutan kegiatan mencuri kabel yang semakin berleluasa di negeri ini, pihaknya terpaksa memilih alternatif lain, namun mengakui ia memerlukan kos yang tinggi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Md Jamil berkata, menyedari akan peningkatan kes kecurian kabel yang agak membimbangkan itu, pihaknya turut wmenubuhkan pasukan khas bagi menangani masalah itu.

“Pasukan yang mula ditubuhkan tahun lalu ini melibatkan TM, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan syarikat telekomunikasi yang lain dan mesyuarat kedua akan diadakan dalam masa terdekat ini selepas mesyuarat pertama yang telah diadakan pada tahun lalu,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...