Khamis, 23 Ogos 2012

Lelaki parah ditembak selepas serang polis

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dipercayai anggota kumpulan samseng cedera ditembak selepas menyerang pasukan polis yang cuba menahannya kerana terbabit dalam pergaduhan di sebuah pangsapuri di Pandan Perdana, dekat sini, Isnin lalu.


Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintenden Md Nazri Zawawi, berkata sebelum itu polis menerima laporan mengenai pergaduhan dua kumpulan di kawasan pangsapuri berkenaan 1.15 pagi sebelum menghantar sepasukan lapan anggota ke tempat kejadian.



"Menyedari kehadiran polis, suspek dan empat lagi rakannya menaiki Hyundai untuk melarikan diri sebelum dikejar pasukan polis yang kemudian mengesan mereka di Tasik Permai," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.


Md Nazri berkata, kelima-lima suspek berumur 26 hingga 30 tahun itu kemudian meluru keluar daripada kereta cuba menyerang anggota polis menggunakan parang, pisau pemotong daging dan besi. 

"Mereka memecahkan cermin hadapan kereta polis dan dalam situasi cemas itu, polis melepaskan dua das tembakan ke arah seorang daripada mereka. Suspek yang cedera itu dihantar ke Hospital Ampang dan kini dalam keadaan kritikal," katanya. 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...