Khamis, 2 Ogos 2012

Lima Lelaki Baju Sedondon Rompak Kedai Emas Kurang 40 Saat

Gambar hiasan

KLANG, 1 Ogos (Bernama) -- Lima lelaki berpakaian sedondon berwarna kuning berjalur merah dan berjaket hitam mengambil masa kurang 40 saat untuk merompak sebuah kedai emas di dalam sebuah pasar raya besar di Jalan Kebun di sini, Rabu.

Ketua Polis Daerah Klang ACP Mohamad Mat Yusop berkata dalam kejadian kira-kira 11.50 pagi itu, kumpulan lelaki bersenjatakan tukul besi, parang dan sejenis alat dipercayai pistol meluru masuk ke dalam kedai emas itu lalu memecahkan cermin pameran barangan kemas.

"Ketika kejadian, terdapat seorang pekerja dan pelanggan di dalam premis itu yang sedang berurus niaga. Empat daripada lelaki berkenaan memecahkan cermin pameran manakala seorang lagi mengambil beberapa barangan kemas dianggarkan bernilai RM10,000," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini, Rabu.

Beliau berkata kumpulan penjenayah itu kemudian melarikan diri dengan sebuah kereta Proton Waja bernombor pendaftaran CBG 5610 yang merupakan kenderaan curi yang dilaporkan hilang di Seksyen 15, Shah Alam semalam.

Mohamad berkata kumpulan penjenayah itu yang juga bertopi keledar tutup muka penuh, dianggarkan berumur dalam lingkungan 30-an dipercayai melarikan diri ke arah Kampung Jawa.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...