PETALING JAYA – Tidak selamat! Itu tanggapan penduduk Blok 6, Flat Desa Mentari apabila terpaksa berhadapan dengan risiko kehilangan motosikal yang diletakkan di kawasan parkir tingkat bawah blok berkenaan.
Keadaan itu, memaksa sesetengah pemilik menyimpan motosikal naik ke unit kediaman masing-masing menggunakan lif.
Penduduk Asri Iftar,46, berkata, fenomena motosikal dibawa naik dan disimpan di rumah adalah alternatif terbaik mengelak motosikal hilang.
Tambahnya penduduk juga semakin bingung apabila motosikal yang dikunci di palang besi yang disediakan boleh hilang membuktikan pencuri terbabit memang berkemahiran.
Sementara itu, N Letchumanan,49, berkata, penduduk mengesyaki kes kecurian motosikal didalangi orang luar.
“Kadang-kadang banyak orang yang tidak dikenali keluar masuk atau melepak di tepi tangga, penduduk takut hendak tegur tapi kelakuan mereka memang mencurigakan,” katanya.
Menurutnya, tempat ini mempunyai Kawasan Rukun Tetangga (KRT) tetapi bukan setiap masa mereka boleh meronda jadi kesempatan ini digunakan oleh pencuri untuk melakukan ‘kerja’ mereka.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika diminta mengulas isu berkenaan menasihati pemilik motosikal mengunci motosikal dengan kunci tambahan.
“Mereka yang terlibat sentiasa mengambil kesempatan jadi jangan cuai kerana kebanyakan kes kehilangan motosikal berlaku disebabkan pemiliknya memberi peluang kepada pencuri,” katanya.