Selasa, 28 Ogos 2012

Parah ditetak kerana bertemu bekas kekasih


KUALA LUMPUR 24 Ogos - Hasrat seorang lelaki untuk menziarahi bekas kekasihnya sempena Hari Raya Aidilfitri, bertukar tragedi apabila dia cedera parah akibat ditetak sehingga hampir putus pergelangan tangannya yang dipercayai gara-gara cemburu buta.

Kejadian berlaku ketika mangsa berusia 40 tahun mengunjungi rumah dipercayai bekas kekasihnya berusia 22 tahun di Flat Sri Melaka, di sini 1 Syawal lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 petang, gadis itu turut ditemani oleh seorang lelaki disyaki kekasihnya yang berusia 30 tahun lalu berlaku pertengkaran antara mereka.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, suspek lalu mengambil pedang Samurai di dalam rumah itu lalu menetak tangan kiri mangsa.

“Suspek dan gadis itu kemudian melarikan diri meninggalkan mangsa sejurus selepas kejadian," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, di sini hari ini.

Tambahnya, mangsa yang cedera dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Mohan Singh memberitahu, susulan daripada kejadian itu, polis memburu pasangan tersebut untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

“Lelaki itu ialah Mohd. Ifendi Mohd. Nafiah, bernombor kad pengenalan 820905-012-5063 dan alamat terakhir di 58-16-09, Flat Sri Sabah, Jalan Cheras.

“Pasangannya dikenali sebagai Hazirah Abdul Aziz, nombor kad 901102-14-6464 dan alamat terakhir di 36-00-16 Flat Sri Melaka, Batu 3 1/2 Jalan Cheras," katanya.

Katanya, orang ramai yang mengenali pasangan itu boleh menyalurkan maklumat kepada mana-mana balai polis berhampiran.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...