Jumaat, 31 Ogos 2012

Pura-pura kereta rosak sebelum culik mekanik


SUBANG JAYA – Malang bagi seorang pekerja sebuah kedai aksesori kereta apabila dia dikurung selama 17 jam selepas dilarikan seorang lelaki yang berpura-pura meminta bantuan membaiki kereta yang didakwa rosak di rumahnya.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.45 pagi itu, suspek dikatakan ke bengkel tempat mangsa bekerja dan memaklumkan enjin keretanya yang ditinggalkan di rumah gagal dihidupkan.
Suspek kemudian dikatakan meminta bantuan pengusaha bengkel meminjamkan seorang pekerjanya untuk melihat kerosakan dialami dan membawa kereta itu ke bengkel.
Sumber berkata, tanpa mencurigai lakonan suspek, seorang pekerja bengkel berusia 19 tahun kemudian dibenarkan mengikutnya dengan menaiki kenderaan dibawa lelaki terbabit.
Menurutnya, mangsa tidak pulang ke bengkel seperti biasa dan pada mulanya ia tidak dicurigai majikan kerana menyangka dia mempunyai hal lain dan terus pulang ke rumah.
Katanya, beberapa jam selepas itu majikan mangsa menerima panggilan daripada nombor telefon bimbit mangsa namun suara lain kedengaran dan meminta sejumlah wang dimasukkan ke dalam sebuah akaun.
Suspek mengugut sekiranya tuntutannya tidak dipenuhi dalam tempoh sejam, lelaki itu akan membunuh pekerja bengkel terbabit.
“Bimbang pekerjanya dipengapakan, majikan mangsa terus mendepositkan jumlah wang diminta. Setelah diselidik suspek dikatakan mengarahkan majikan terbabit memasukkan duit ke dalam akaun milik mangsa dan mengeluarkan wang itu dipercayai menggunakan akaun sama.
“Selepas ‘urusan’ majikan dan suspek selesai mangsa dikatakan menghubungi majikannya dan memberitahu dia dibebaskan di Selayang kira-kira jam 2.30 pagi hari berikutnya,” katanya.
Menurutnya, majikan mangsa kemudian ke tempat dinyatakan dan mendapati mangsa dilepaskan namun gagal mengesan suspek.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...