Rabu, 8 Ogos 2012

Tambah baik NKRA


KUALA LUMPUR: “Kerajaan akan mengkaji dan menambah baik pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) jenayah bagi mengubah persepsi masyarakat berhubung kadar jenayah dalam Malaysia,” kata Pengerusi Urus Setia NKRA itu Datuk Ayub Yaakob.

Beliau berkata, kajian semula yang memfokus kepada penggabungan idea dan pandangan masyarakat itu diyakini mampu menghasilkan pendekatan sesuai dalam menangani persepsi umum bahawa kadar jenayah berada pada tahap membimbangkan.

“Kami sedang mencari formula baru untuk memberitahu masyarakat kadar jenayah adalah rendah dan ia antara langkah awal menangani persepsi rakyat yang kurang yakin dalam isu keselamatan negara.


“Kami ingin mencari idea baru daripada masyarakat dan antara langkahnya ialah dengan memahami kehendak mereka terlebih dahulu sebelum satu corak baru ditentukan,” katanya pada majlis serah dan terima tugas yang disaksikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin di sini, semalam.

Bekas Ketua Polis Pulau Pinang itu memulakan tugas barunya secara rasmi semalam, menggantikan Datuk Abu Samah Mat yang kini Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman.

Jenayah adalah antara enam tumpuan utama NKRA yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 27 Julai 2009, selain meluaskan akses pendidikan, memerangi rasuah, meningkatkan taraf hidup, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman, serta menambah baik pengangkutan awam.

Mengulas inisiatif ‘kepolisan berprofil tinggi’ yang membabitkan pegawai kanan, Ayub berkata ia diharap mampu menghasilkan sikap saling menghormati antara polis dan orang awam, seterusnya menimbulkan keyakinan serta kebolehpercayaan kedua-dua pihak.

“Sekiranya kerjasama sudah terjalin, kami boleh berkongsi sumber yang ada, contohnya kehadiran polis di kompleks beli-belah dapat membantu pengawal keselamatan dan polis bantuan dalam menangani sebarang perlakuan jenayah,” katanya.

Mengenai pelaksanaan ‘omnipresence’, beliau berkata dalam menambah baik pendekatan itu, pihaknya sedia menerima sebarang idea baru yang inovatif untuk digabung dengan kemahiran, pengetahuan dan aset sedia ada bagi mencapai matlamat mengurangkan kadar jenayah.

Sementara itu, Mohd Bakri berkata, jabatan terbabit merangka satu operasi khusus bagi menangani peningkatan jenayah sempena sambutan Aidilfitri. — Bernama


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...